PELAKON dan pengacara terkenal, Datuk AC Mizal atau nama sebenar Mizal Zaini, 51, diusik oleh netizen gara-gara wajahnya menyerupai seorang penari lelaki dalam sebuah video.

Difahamkan, video itu pada awalnya dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok @Daruslantak dan kelihatan seorang penari lelaki memakai singlet berwarna hitam sedang menari di satu majlis.

Apa yang menarik perhatian netizen, senyuman dan fizikal wajah penari tersebut mirip dengan AC Mizal dan disebabkan itu ia mulai tular di laman sesawang.

Malah, perkongsian tersebut turut mendapat perhatian AC Mizal dan tampil memberi penjelasan yang melucukan selepas diserbu dengan pelbagai pertanyaan oleh netizen menerusi Instagramnya.

“Saya terpanggil menjawab banyak pertanyaan sampai anak saya sendiri cakap tak pernah nampak ayah pakai singlet hitam.

“Alaaa ‘huwaaaa’ ini bukan saya, lentik saya lain. Saya tak cukur ketiak okay! Siapa edarkan video ni?.

“Saya terpaksa cari kerja sampingan, tak guna ada bakat kalau tak tonjolkan.

“Dua hari notifikasi telefon tak berhenti. Ingat apa, rupanya dah pecah lubang saya buat kerja tepi selain dari hos. 

“Hebat tak? Demi mencari rezeki tambah pendapatan,” katanya.

Tinjauan URTV ke ruangan komen mendapati rakan-rakan artis serta netizen terhibur dengan video dan respon yang diberikan oleh AC Mizal.

Malah, mereka turut menyakat AC Mizal untuk teruskan mengasah bakat dalam bidang tarian.

“Terima kasih Datuk, menari untuk persembahan saya, jangan lupa minggu depan ada ‘show’ lagi,” ujar @Ayudamit.

“Hahaha dia buat kerja menari senyap-senyap eh, banyak betul bakar,” kata @Norzehajr.

“Tipu, ini memang Datuk!,” usik @Sharifzero.