POLIS Pulau Pinang mengesahkan menahan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perak kerana positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, lelaki berusia 50-an itu ditahan dalam pemeriksaan pada 9 malam di pusat hiburan berkenaan selepas ujian air kencing mendapati dia positif dadah.

“Ujian air kencingnya yang pertama mendapati dia positif dadah namun pihak polis akan menunggu laporan sampel air kencing daripada patologi untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata ADUN yang bukan bergelar Datuk itu direman sehari dan akan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan patologi dan kesnya disiasat menurut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal berkata pemeriksaan ke atas pusat hiburan yang menggunakan lesen restoran itu mendapati premis tersebut sebelum ini memang beroperasi sebagai kelab malam malah susun aturnya masih seperti keadaan asal (kelab malam) dan semasa serbuan terdapat 82 individu di situ.

“Polis menahan 48 daripada mereka iaitu 36 orang termasuk ADUN itu yang positif dadah terdiri daripada 28 lelaki dan lapan wanita kesemuanya berusia 21 hingga 70 tahun,” katanya.

Baca: Positif dadah: Peguam sahkan ADUN DAP ditahan semalam

Mustafa Kamal berkata dalam pemeriksaan itu, polis turut menahan 12 wanita warga asing dan pihaknya masih menyiasat peranan mereka di pusat hiburan tersebut sama ada sebagai pelayan pelanggan atau hadir bersama kawan-kawan untuk berhibur di situ.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kesemua wanita warga asing itu ditahan kerana kesalahan berkaitan Akta Imigresen termasuk gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri dan tinggal lebih masa.

— BERNAMA