PADA bulan April 1945, sebuah kapal pengangkut Jepun bernama Kobe Maru sedang berlayar di tasik Poyang, membawa 200 anak kapal bersama barangan kargo berupa lukisan, emas, perak dan permata dari China untuk pulang ke Jepun.

Sewaktu berlayar di bahagian utara tasik air tawar terbesar di China itu, cuaca yang sebelum itu cerah tiba-tiba berubah. Kabus mulai turun berserta hujan lebat. Air yang tadinya tenang mula mengganas. Akhirnya, Kobe Maru tenggelam, mengorbankan kesemua anak kapal berserta barangan berharga di dalamnya.

Tentera Jepun menghantar sepasukan penyelam elit ke lokasi itu untuk menyiasat kehilangan kapal mereka. Lapan orang penyelam yang diketuai Kolonel Tomohisa turun ke dasar tasik.

Tetapi, tiada seorang pun timbul kembali kecuali seorang, Kolonel Tomohisa. Dia muncul di permukaan air dengan wajah ketakutan. Bila ditanya apa yang berlaku, kolonel itu hanya diam membisu. Tomohisa dihantar semula ke Jepun dan hasil diagnosis mendapati dia mengalami gangguan mental dan hilang memori.

Tasik Poyang.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, sekumpulan pakar penyelam dari Amerika yang diketuai Dr. Edward D.E Boer diupah untuk menjejak kapal Kobe Maru di dasar tasik tersebut.

Namun, setelah berbulan-bulan pencarian dilakukan, tiada sebarang hasil diperolehi. Sebaliknya, beberapa penyelam pasukan itu turut ghaib sewaktu menyelam ke dasar tasik.

Dr. Edward putus asa untuk meneruskan misi itu lalu kembali ke negaranya. Dia hanya mendiamkan diri terhadap soalan yang ditanya tentang pengalamannya di tasik itu.

Hanya 40 tahun kemudian, barulah rahsia yang disimpannya terbongkar apabila dia menceritakan ekspedisi tersebut dalam memoir yang diterbitkan oleh United Nations Environment Report.

Cerita Dr.Edward, sewaktu menyelam bersama pasukannya di tasik itu, tiba-tiba muncul cahaya yang menyilaukan pandangan berserta bunyi yang sangat kuat hingga menyakitkan gegendang telinga. Keadaan dalam tasik itu bergegar bagaikan dilanda gempa.

Dari dasar tasik, timbul pusaran yang sekelilingnya diseliputi cahaya putih. Tarikan pusar itu begitu kuat hingga Dr.Edward turut ditarik ke dalam. Mujurlah dia sempat berpaut pada terumbu karang dan menyaksikan sendiri rakan-rakannya yang lain ditarik ke dalam pusaran itu lalu hilang.

Tasik Poyang,

Lebih 200 Kapal Ghaib

Terletak dalam wilayah Jiangxi, tasik Poyang merupakan tasik air tawar terbesar di China. Bahagian utara danau ini disebut sebagai Tasik Laoye Miao, sempena nama sebuah kuil lama di situ.

Sejak tahun 1960-an sehingga hujung 1980an, lebih 200 kapal telah tenggelam secara misteri di tasik ini yang juga digelar sebagai ‘Segitiga Bermuda China’. Insiden itu telah meragut lebih 1,600 nyawa dan lebih 30 penyelam hilang kewarasan setelah terlibat dalam misi pencarian di tasik ini.

Tasik Poyang merupakan tasik air tawar terbesar di China.

Dari segi geografi, kedudukan tasik ini hampir 30 darjah latitud ke arah utara garis Khatulistiwa, iaitu hampir sama dengan kedudukan Segi Tiga Bermuda. Justeru, tasik ini turut digelar sebagai ‘Segi Tiga Bermuda Timur’ kerana misteri yang berlaku di tasik ini turut dikaitkan dengan Segi Tiga Bermuda yang popular menelan kapal laut atau kapal terbang yang melaluinya.

Pada tahun 1997, kerajaan China telah membuat tiga empangan di sekitar tasik ini. Salah satu daripada empangan itu terletak di Tasik Laoye. Suatu malam, empangan sepanjang 2,000 kaki, lebar 165 kaki dengan ketinggian 16 meter itu tiba-tiba tenggelam ke dasar tasik tanpa sebarang bunyi.

Pada Ogos 1985 pula, 13 buah kapal kargo yang berlayar secara konvoi di perairan itu tenggelam apabila ribut besar tiba-tiba melanda. Operasi mencari gagal menemui bangkai kapal-kapal tersebut.

Tasik Poyang sentiasa sibuk sebagai laluan kapal.

Pernah kerajaan China mengupah sekumpulan ahli saintifik diketuai oleh Kapten Shen Dahai untuk mengkaji tasik itu. Namun mereka gagal mendapat sebarang penjelasan. Pada hari terakhir di situ, Kapten Shen yang tidak berpuas hati dengan hasil kajian mereka telah turun menyelam seorang diri untuk mencari jawapan. Namun, dia tidak timbul.

Apa yang menghairankan, mayat kapten ini ditemui di Tasik Changba Shan, 15 kilometer dari lokasi dia hilang. Lebih aneh, Tasik Changba seluas 20 kilometer persegi itu dikelilingi gunung ganang dan langsung tidak bercantum dengan tasik ini. Bagaimana mayat kapten itu boleh tersadai di situ sedangkan tiada saluran yang menyambungkan kedua-dua tasik tersebut?

Bagi penduduk tempatan, mereka amat takut dengan tasik ini. Mengikut cerita para nelayan, arah angin dan air di tasik ini sukar diramal. Ribut boleh datang bila-bila masa tanda sebarang petanda.

Tasik ini menjadi sumber rezeki para nelayan.

Misteri tasik ini juga dikaitkan dengan kisah legenda tempatan. Diceritakan sewaktu Zhu Yuanzhang, pemerintah Dinasti Ming yang kalah dalam perang berdekatan danau Poyang, seekor penyu raksasa telah muncul membantu Zyu menyeberangi danau itu dan membawanya ke bahagian utara danau, iaitu Tasik Laoye Miao.

Di situlah Zhu telah mendirikan sebuah kuil disebut sebagai Kuil Laoye untuk mengenang jasa penyu itu. Kononnya, roh penyu itulah yang menimbulkan gangguan di perairan tersebut.

Kuil Laoye.

Terdapat juga teori yang mengemukakan gambar infra merah yang menunjukkan kononnya ada tebing pasir yang melintang dari timur ke barat di bawah tasik itu yang menjadi pencetus kepada pusaran air yang menyebabkan kejadian kapal karam.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare