SEJAK membuat pendedahan mengenai dirinya yang pernah alami keresahan melampau atau anxiety, pelakon dan penyanyi Maya Karin akui lega dan tidak menganggap dirinya keseorangan.

Bukan mudah untuk dia bergelut dengan anxiety yang pernah ‘bersarang’ dalam dirinya selama lapan tahun.

Pelbagai cara dilakukan sebagai usaha untuk melawan masalah anxiey termasuklah melakukan aktiviti selam skuba pada tahun lalu.

“Sebelum ini saya tak pernah berkongsi mengenai masalah anxiety yang saya alami tetapi sejak pulang dari Sabah, saya buat keputusan untuk berkongsi secara umum.

“Sebenarnya saya ke sana (Sabah) ketika itu untuk buat aktiviti menyelam skuba sebagai satu kaedah nak lawan anxiety.

“Tetapi berlaku dua kali insiden serangan panik dalam air yang membuatkan saya terfikir untuk akhirnya berkongsi masalah anxiety di Instagram,” katanya ketika ditemui URTV pada majlis sidang media filem Telaga Suriram di ibu kota, baru-baru ini.

Susulan daripada episod tragis itu, pelakon Pontianak Harum Sundal Malam itu tidak lagi meneruskan aktiviti sukan air dan kini memilih untuk melakukan yoga yang dirasakan lebih selamat.

Malah, anxiety turut pernah memberi kesan dalam karier seninya apabila pernah terlepas peluang keemasan untuk beraksi dalam filem Hollywood, Crazy Rich Asian dan teater muzikal Puteri Gunung Ledang.

“Pernah terjadi apabila cawan yang yang saya pegang hampir terlepas disebabkan tangan saya tiba-tiba menggigil.

“Ketika itu saya alami perasaan yang gementar yang sukar dikawal sehingga memberi kesan gigil di bahagian tangan,” kongsinya.

Berikutan itu, Maya sukar untuk menerima tawaran seni yang memerlukan dirinya beraksi secara langsung di hadapan penonton.

Dia bimbang jika diserang anxiety secara tiba-tiba ketika di atas pentas.