Mohd Khairuddin Aman Razali .

TIDAK sampai dua bulan memegang jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sah digugurkan daripada jawatan tersebut.

Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu disahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Menurut Abdul Hadi, pengguguran jawatan pemimpin dalam Pas merupakan perkara biasa.

Kata beliau, Mohd. Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus digugurkan dalam mesyuarat yang diadakan di Ibu Pejabat Pas, Kuala Lumpur, kelmarin.

Abdul Hadi bagaimanapun enggan mengulas punca sebenar bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu digugurkan.

“Itu biasa dalam parti, tak terpilih dalam muktamar, diberhentikan atau ditukar, itu biasa.

“Perkara itu diuruskan oleh Setiausaha Agung parti.

“Bagaimanapun, mesti ada alasan-alasan yang dikemukakan parti, siapa yang tak ikut disiplin dia boleh dinasihatkan dan boleh ditukar jawatan dia, ditugaskan ke (kedudukan) lain dan digantung keahlian atau pun dipecat. Itu tertakluk kepada parti,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Rombakan Kabinet: “Saya rasa tak perlu” – Abdul Hadi

Pada 23 November lalu, Mohd. Khairuddin merupakan antara tiga pemimpin tertinggi Pas yang dilantik semula sebagai AJK Pas bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Mohd. Khairuddin dalam hantaran di laman Facebook malam tadi turut memberi bayangan mengenai pengguguran tersebut.

Tulis Mohd. Khairuddin, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam bermasyarakat kerana manusia mempunyai akal dan ilmu berbeza yang menghasilkan sudut pandang berbeza.

“Tinggal lagi adalah adab dalam berbeza pendapat dan bagaimana menguruskan perbezaan yang boleh menyuburkan lagi sesuatu perbincangan,” katanya dalam hantaran itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram