PENYANYI kumpulan SHINee, Tae-min dikhabarkan telah berpindah daripada kumpulan tentera kepada pekerja perkhidmatan awam atas faktor kesihatan mental yang dihidapinya.

Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh agensi penyanyi ini iaitu SM Entertainment, Tae-min terpaksa dipindahkan untuk menjalani baki perkhidmatan ketenteraan wajibnya kerana mengalami gejala kemurungan dan kebimbangan yang semakin teruk.

“Ini SM Entertainment. Pada 14 Januari, Tae-min telah dipindahkan daripada kumpulan tentera ke perkhidamatan tambahan.

“Disebabkan simptom kemurungan dan keresahan yang dialami Tae-min sebelum ini, dia terus menerima rawatan dan terapi walaupun sedang menjalankan perkhidmatannya.

“Namun, kerana gejalanya semakin teruk baru-baru ini, pihak tentera memutuskan bahawa mustahil baginya (Tae-min) untuk meneruskan kehidupan tentera dan menerima rawatan pada masa yang sama. Oleh itu, Tae-min bercadang untuk memenuhi tugas ketenteraannya sebagai pekerja perkhidmatan awam,” ujar SM Entertainment.

Tambah agensi itu lagi, mereka turut memohon maaf di atas berita duka berkenaan dan berjanji akan memberi lebih tumpuan kepada pelantun lagu Ring Ding Dong ini.

“Kami memohon maaf kerana memberi anda alasan yang membimbangkan atas berita mengejut ini.

“Kami akan terus menumpukan perhatian kepada rawatan Tae-min pada masa hadapan serta melakukan yang terbaik untuk memastikan bahawa dia dapat kembali mencari kestabilan,” kata agensi.

Buat info, Tae min mula mendaftarkan diri dalam tentera wajib pada 31 Mei 2021 dan dijadualkan bakal berakhir pada November hadapan.