IDRIS AHMAD

JANGAN buat hukuman sendiri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berhubung isu tular remaja dimandikan setelah mengaku mencuri di sebuah masjid di Rawang.

Tegas beliau, perbuatan orang ramai termasuk pengurusan masjid yang mengambil sebarang bentuk hukuman sendiri terhadap orang yang disyaki melakukan kesalahan adalah amat tidak wajar.

Kata Idris, perkara itu sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Saya juga ingin menasihatkan orang ramai termasuk pihak pengurusan masjid agar tidak terjebak dengan sentimen tertentu atau cuba mengambil tindakan sendirian sehingga boleh menyebabkan kezaliman kepada orang yang disyaki melakukan kesalahan.

“Perbuatan merakam gambar orang yang disyaki (melakukan kesalahan) bagi tujuan sebaran awam juga adalah merupakan suatu perkara yang amat tidak wajar,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Baca: Curi tabung masjid: Selepas video dimandi ditular, remaja dijel 10 hari, denda RM4,000

AADK sedia bantu remaja ‘dimandi jenazah’ curi tabung masjid

Idris pada masa sama menegaskan perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun dilarang dalam Islam dan pesalah wajar dihakimi seadil-adilnya.

Beliau juga menyeru masyarakat supaya sentiasa cakna terhadap anggota kejiranan dan bersama mengambil peranan dalam mencegah masalah sosial yang berlaku di sekeliling mengikut peranan masing-masing tanpa melampaui had.

Baru-baru ini tular menerusi media sosial video yang memaparkan tindakan jemaah sebuah masjid memandikan seorang lelaki seperti jenazah kerana mencuri tabung masjid.