SEJAK  kebelakangan ini, Sis banyak membuat kajian mengenai peperangan antara FBI untuk menjatuhkan geng-geng Mafia pada tahun 70-an sehingga 80-an seperti dokumentari “Fear City:New York vs the Mafia” di Netflix, filem-filem “Capone” dan juga “Gotti”.

Sis tidak mempunyai kesempatan lagi nak tengok “The Irishman” dan “The Godfather” yang merupakan antara filem klasik Mafia.

Minggu ini, Sis akan ceritakan mengenai seorang ketua Mafia yang terkenal pada zaman 80-an – bukan pasal kehebatannya sebagai pemimpin penjenayah tetapi detik-detik yang mendedahkan dirinya sebagai seorang bapa dan seorang manusia.

Pada zaman 70-an sehinggalah 80-an, New York merupakan sebuah bandar yang dibelenggu dengan masalah Mafia dan  John Gotti merupakan seorang ketua Mafia untuk keluarga Gambino yang terkenal di bandar New York ketika itu.

Kita mengenali seorang ahli mereka ni sebagai ‘penjenayah’ atau ‘gengster’. Secara lebih kasar, kita gelar mereka ‘penyangak’ atau ‘sampah masyarakat’. Ye lah, mereka ini dibayar gaji untuk buat jenayah. Menjual dadah, membunuh dan juga mengugut orang.

Memang ternyata mereka ini bukannya orang yang ‘baik’  tetapi Gotti amat disukai oleh kejiranan dia.

John Gotti ada reputasi yang baik dalam kalangan komuniti penduduk. Disebabkan reputasi dia, kawasan-kawasan yang di bawah jagaannya menjadi tempat yang selamat. Tiada siapa berani untuk merompak atau membuat sebarang  masalah di kawasan itu sebab mereka tahu itu kawasan siapa, mereka tahu John Gotti tu SIAPA!

Kehidupan John Gotti bagai syiling, ada dua bahagian yang berasingan tapi tetap tercantum di tengah.

Siang dia ketua Mafia, arah orang bunuh sini bunuh sana, ugut orang sini dan sana tetapi selepas selesai ‘kerja’ dia, dia pulang ke rumah disambut oleh isterinya Victoria dan anak-anaknya, John A. Gotti, Peter, Angela, Victoria dan Frank.

Peter Gotti

Frank Gotti, anak Gotti yang ketiga, mati pada umur 12 tahun selepas berlanggar dengan kereta John Favara, jiran belakang rumahnya namun polis berkata kejadian tersebut berlaku secara tidak sengaja jadi Favara terlepas.. untuk seketika sebelum dia hilang secara tiba-tiba.  Sis tak nak fitnah orang yang dah mati jadi pandai-pandai korang lah fikir sendiri.

Gotti juga seorang penduduk yang aktif. Dia rajin membuat pesta-pesta barbeque untuk kejiranan dia dan bila ditambah dengan latar belakangnya yang datang daripada keluarga susah, ia hanya membuat orang terutamanya kelas pekerja lebih suka kepada si ketua Mafia yang bergaya ini. Secara tidak langsung, orang sekeliling dia buat-buat tidak nampak tentang pekerjaan sebenar dia.

Namun, hubungan dia yang baik bersama komuniti di New York adalah salah satu sebab kenapa  FBI dan kerajaan Amerika Syarikat benci sangat dekat dia.

Gotti dah banyak kali ditahan polis dan masuk keluar penjara sejak 1968. Pihak FBI siap cakap Gotti seorang yang ‘licin’ macam sabun sebab asyik terlepas.

FBI dan kerajaan cuba nak jatuhkan Gotti dari awal tahun 1980 sehingga lah 1992, dan setiap kali, Gotti atau lebih dikenali sebagai ‘Teflon Don’, mesti menewaskan mereka – mesti ada satu benda yang meletakkan Gotti di tempat lagi tinggi daripada pihak pendakwaraya tetapi, bila kau dah jahat, kau akan jatuh juga.

Pada akhir tahun 1992,  Gotti didapati bersalah atas banyak pertuduhan.  FBI pun tak senaraikan semua tetapi antaranya adalah pembunuhan dan mengganggu juri – antara salah satu sebab kenapa Gotti banyak terlepas daripada pendakwaan sebelum ini.

Gotti dimasukkan ke penjara United Stated Penintentiary di Illinois dan hanya boleh tinggalkan bilik dia selama satu jam sahaja sehari namun, pada 1998 dia didiagnosis sakit kanser tekak.

Dia dipindahkan ke United States Medical Facility for Federal Prisoners di Springfield, Missoury di mana ketumbuhan kanser tersebut dibuang tetapi selepas 2 tahun, kanser tekaknya kembali.

FBI dan kerajaan AS dah habiskan sebanyak AS$100 juta semata-mata nak tengok Gotti pakai baju banduan dan usaha mereka tidak dibazirkan. Mereka berdendam dengan  Gotti sehinggalah dia mati..

Keadaan Gotti semakin tenat dan akhirnya menghembus nafas terakhirnya pada 10 Jun 2002. Anaknya John A. Gotti yang juga terlibat dengan Mafia dan dimasukkan ke penjara ketika itu, mengetahui tentang kematian ayahnya melalui TV di tempat tahanannya.

Selepas malaikat maut datang menjemput Gotti, anak lelaki Gotti, Peter cuba sedaya upaya mahu  membawa mayat ayahnya pulang ke tanah airnya di Queens untuk dikebumikan, tetapi disebabkan dendam kerajaan kepada Gotti, Peter terlibat dalam satu konflik dengan pihak penjara kerana mereka enggan berikan mayat ayahnya.

Memang nak pegang sampai mati sungguh..

Sebuah artikel yang ditulis oleh Murray Weiss daripada the New York Times berkata Peter Gotti ke Springfield Massachusetts Funeral Home dan merayu kepada pegawai penjara di situ untuk memberikan mayat ayahnya kepada dia tetapi mereka menuding senapang dan suruh dia pulang.  Selepas sedikit pergelutan, Peter berjaya mendapatkan mayat ayahnya.

Peter Gotti berkata perjalanan untuk membawa ayahnya pulang ke Queens merupakan antara pengalaman paling sedih yang pernah dilalui. Disebabkan keranda ayahnya tidak muat dalam kapal terbang yang kecil, dia terpaksa memangku beg mayat John Gotti sepanjang perjalannya ke New York.

“Saya ingat lagi saya letak kepala dia di atas riba  dan saya biar bahagian atasnya terbuka. Sepanjang perjalan, saya hanya mampu merenung ayah saya. Bila kami tiba di New York, saya pandang dia dan berkata ‘kami dah sampai rumah, ayah,” kata Peter.

Gotti merupakan seorang penjenayah kepada kerajaan, musuh kepada FBI dan anak-anak dia tahu perkara itu sebab dorang pun terlibat sekali. Walaupun ditimbun dengan fakta bahawa ayahnya membunuh, ia tidak sesekali mengubah peranan  Gotti dalam hidup mereka, iaitu sebagai orang ayah.

Adakah Sis nak kata  Gotti ini baik? Semestinya tidak. Tetapi kepada komuniti yang dia jaga, keluarga yang dia tinggalkan, dia tidak sempurna tetapi yang penting dia jaga mereka. Kalau dia ini tak penting kepada  mereka, kenapa penduduk di kawasan perumahannya menyambut keranda dia ketika diusung ke kubur?

 Betul, dia jahat tetapi dia tak sejahat pembunuh bersiri yang kita selalu tengok kena tangkap dalam TV tu. Mungkin dia bunuh orang, tapi dia bunuh orang yang terlibat dengan bidang yang sama dengan dia. Bagi Sis, itu lebih baik daripada dia bunuh orang yang tak bersalah..

Agak panjang daripada Sis minggu ini sebab kepada Sis, Gotti ikon yang kisah hidup dia penuh dengan ego bahawa dia tidak boleh disentuh tetapi akhirnya dia mati.. macam tu je.

Permulaan yang penuh dengan ‘kekebalan’ tetapi akhir dengan kematian yang agak berciri-ciri ‘kemanusiaan’..

Jadi, dengan lafaz itu Sis harap korang semua kembali kepada kehidupan seharian korang pada hari Sabtu ini. Jika ada sebarang komen, boleh ujarkan di bawah atau hubungi Sis di [email protected]

Salam Sabtu, semua.

*Penulis adalah Graduan Kewartawanan UiTM