KISAH lelaki bernama Chen Si ini pernah hangat diperkatakan sekitar tahun 2017 selepas dikongsi oleh pengguna laman sosial. Apa yang dilakukan lelaki ini mendapat pujian ramai dan wajar dicontohi.

Setiap hujung minggu, Chen Si akan pergi ke jambatan sungai Yangtze yang popular di kota Nanjing, China. Lelaki ini menaiki sebuah motosikal. Kadangkala, dia hanya berjalan kaki. Tujuannya hanya satu, untuk menyelamatkan nyawa.

Setibanya di sana, Chen Si akan menyusuri sepanjang jambatan tersebut. Melalui rondaannya itu, dia kerap terserempak dengan individu yang hanya sendirian dan kelihatan murung. Selalunya, Chen Si akan mendekati golongan tersebut sambil bertanya sekiranya mereka memerlukan bantuan.

Setiap hujung minggu, lelaki ini secara sukarela akan meronda di sepanjang jambatan ini.

Sejak September 2003, Chen Si telah melakukan kerja ini secara sukarela bagi memastikan tiada individu yang mengambil keputusan untuk menamatkan riwayat hidup dari atas jambatan itu. Malah, dia sanggup melakukan tugas kemanusiaan itu tanpa sebarang upah. Kebiasaan itu menjadi rutin buat lelaki ini meskipun perlu mengorbankan masa sendiri.

Ini kerana lokasi itu sering menjadi pilihan bagi mereka yang mahu membunuh diri. Jambatan sungai Yangtze merupakan antara jambatan terbesar di China dengan ketinggian 150 meter. Ukuran berkenaan sudah cukup melayakkan ia menjadi tempat popular bagi ‘menyelesaikan’ bebanan yang ditanggung oleh mereka yang mengakhiri nyawa sendiri.

Sepanjang melakukan tugas ini, pelbagai kisah yang didengari Chen Si. Setiap pertemuan bersama individu asing di situ membawa kisah baru kepada Chen Si. Kebanyakan mereka mempunyai beban hidup yang tidak mampu ditanggung sehingga mengambil keputusan untuk membunuh diri tanpa berfikir panjang.

Pelbagai kisah yang didengari Chen Si dari individu yang mahu membunuh diri dari jambatan ini.

Namun begitu, tidak semua daripada individu yang ditegur menyambut sapaan Chen Si dengan baik. Ada di antara mereka bertindak kasar dengan memarahi lelaki ini kerana mencampuri urusan mereka.

Tetapi, Chen Si tidak mudah mengalah. Tanpa berputus asa, dia akan memujuk ‘mangsa’ sambil memberikan kata-kata semangat. Hasilnya, kebanyakan mereka yang murung mula menerima teguran dan akhirnya tidak jadi menamatkan riwayat mereka.

Kata Chen Si, sebanyak 90% individu yang ditemui hanya berdiam diri pada awal pertemuan mereka. Keadaan itu menyebabkan dia perlu sabar memujuk mangsa yang murung bagi membolehkan mereka meluahkan masalah.

Bukan itu saja, Chen Si juga menawarkan bantuan untuk menghantar pulang pada mana-mana individu murung di jambatan berkenaan. Dia percaya golongan seperti ini tidak mempunyai tempat untuk meluahkan perasaan. Masalah yang dihadapi mereka diumpamakan sebagai bebanan yang sukar ditanggung. Jadi, penyelesaian terakhir adalah dengan membunuh diri.

Chen Si akan mendekati individu yang kelihatan murung dan mempunyai tanda mahu membunuh diri,

Selain itu, lelaki ini turut meletakkan papan tanda yang tertera nama serta nombor telefonnya sebagai langkah untuk mendekati golongan ini. Sebabnya kerana Chen Si bekerja pada hari biasa dan tidak selalu ada di jambatan tersebut, kecuali sewaktu cuti hujung minggu. Dengan cara  begitu, dia berharap individu yang menghadapi masalah di situ boleh menghubunginya pada bila-bila masa.

Kegigihan Chen Si telah memberi inspirasi kepada dua pengarah muda untuk menghasilkan sebuah dokumentari bertajuk ‘Angel of Nanjing’. Video yang dihasilkan oleh Jordan Horowitz dan Frank Ferendo ini memaparkan rutin mingguan Chen Si yang dilakukan sepanjang tempoh 13 tahun.

Menurut Chen Si, kebanyakan individu yang terlibat untuk membunuh diri ini terdiri daripada pekerja asing yang jauh dari keluarga. Disebabkan tiada orang terdekat di sisi yang boleh berkongsi masalah mereka menyebabkan golongan ini buntu ketika menghadapi kesulitan.

Chen Si sendiri pernah merasai pengalaman tersebut suatu ketika dahulu. Atas dasar berkenaan, dia  terpanggil untuk membantu mereka yang memerlukan.

Sewaktu kisah Chen Si hangat diperkatakan, sejumlah 300 orang telah berjaya diselamatkannya daripada meneruskan niat untuk ‘mati’. Terbaru, lelaki ini telah menyelamatkan lebih 400 individu daripada menamatkan riwayat mereka di jambatan ini.

Menurut laporan yang pernah dikeluarkan oleh Chinadaily beberapa tahun lalu, lebih 2,000 nyawa telah terkorban akibat bunuh diri sejak awal pembukaan jambatan itu pada tahun 1968.

Ramai yang bertindak terjun dari jambatan ini untuk membunuh diri sejak ia dibuka pada tahun 1968.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen