menjaga silaturrahim besar ganjarannya

al-Imam al-Nawawi telah memperincikan berkenaan dengan maksud silaturrahim atau mengeratkan hubungan kekeluargaan. Beliau menjelaskan perkara ini dengan menukilkan kata-kata al-Qadhi Iyadh,

“Tiada sebarang syak bahawa silaturrahim, secara umumnya adalah wajib dan memutuskannya adalah dosa besar, namun, hubungan kekeluargaan ini merangkumi pelbagai peringkat yang mana sebahagiannya lebih tinggi dari yang lain. Silaturrahim yang paling minima ialah dengan tidak memboikot dan dengan memberi salam.

Hukumnya juga berbeza mengikut kemampuan dan keperluan. Ada yang wajib dan ada yang mustahab (sunat). Jika seseorang itu mengeratkan sebahagian hubungan kekeluargaan tetapi tidak sempurna keseluruhan keluarga, dia tidak boleh digelar qaati’ (pemutus hubungan kekeluargaan).

Begitu juga, jika dia mengabaikan dan tidak buat apa yang dia mampu, dia tidak boleh digelar waasil (pengerat hubungan kekeluargaan)…

Para ulama telah berselisih pendapat tentang hubungan kekeluargaan yang wajib dieratkan. Pandangan pertama, maksudnya ialah keluarga yang mahram sahaja; iaitu lelaki dan perempuan itu haram berkahwin (seperti adik beradik, ibu bapa, adik beradik ibu bapa dan sebagainya). Mengikut pandangan ini, sepupu sebelah ayah mahupun ibu adalah tidak termasuk.

Pandangan kedua, keluarga di sini merangkumi mereka yang mewarisi harta pusaka seseorang itu tanpa mengira mahram atau tidak.”

Al-Imam al-Nawawi mengatakan bahawa pandangan kedua ini adalah lebih tepat berdasarkan beberapa hadis lain.


Selepas mengikuti sedikit perbincangan tentang silaturrahim atau mengeratkan hubungan kekeluargaan, mungkin ada yang tertanya-tanya apakah penting sangat silaturrahim ini hingga Allah Ta’ala janjikan ganjaran yang hebat.

Persoalan ini dapat kita rungkaikan dengan melihat kepada lafaz-lafaz hadis berkaitan silaturrahim. Rumusannya adalah seperti berikut;

Pertama: Silaturrahim adalah salah satu ciri orang yang beriman. Sabda Rasulullah s.a.w.

Siapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya. Siapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia mengeratkan hubungan kekeluargaannya. Siapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia bercakap baik atau senyap sahaja. HR Bukhari

Kedua: Allah memberi hak kepada al-rahim (hubungan kekeluargaan) daripada nama Allah; al-Rahmaan al-Rahiim. Sabda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis qudsi,

Maka Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman, “Aku adalah al-Rahmaan al-Rahiim. Sesungguhnya Aku telah memberi hak kepada al-rahim ini daripada namaKu. Maka, siapa yang menyambungnya akan Ku sambung dan siapa yang memutuskannya akan Ku putuskan.” HR al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib bertaraf Hasan.

Secara kesimpulan, umat Islam diperingatkan agar sentiasa merealisasikan silaturrahim atau mengeratkan hubungan kekeluargaan. Sebagaimana besarnya pahala bagi orang yang Waasil (menghubungkan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan) maka begitulah juga dahsyatnya dosa bagi orang yang Qaati’ (memutuskannya).

Rasulullah s.a.w. telah bersabda, Tidak akan masuk syurga Qaati’ (pemutus silaturrahim). HR Bukhari dan Muslim

_________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare