ADUN DAP Pasir Berdamar, Terence Naidu./ Gambar media sosial

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu mendakwa beliau telah dihidangkan minuman yang ‘aneh’ sebelum ditahan polis kelmarin kerana didapati positif bahan terlarang.

Dalam kenyataan hantaran di Facebook, Terence mendakwa telah diundang bertemu rakan-rakan yang juga klien untuk perjumpaan dan makan sempena Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang.

Terence mendakwa telah dibawa ke lokasi di mana beliau kemudiannya ditahan sebaik tiba di Perai dan pada mulanya teragak-agak untuk masuk ke premis berkenaan.

“Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang. Saya terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif kerana saya ini merokok pun tidak.

“Saya telah dihidangkan minuman yang ‘aneh’. Saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit.

“Saya kemudiannya dimaklumkan pada keesokan harinya bahawa ketika saya ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya,” dakwanya dalam hantaran tersebut.

Kenyataan itu juga telah dimasukkan sebagai kenyataan beramaran Terence kepada polis.

Sehubungan itu, Terence memaklumkan telah membuat laporan polis, semalam menyatakan bahawa beliau terdedah kepada anasir yang mencurigakan serta menamakan saksi terhadap kejadian terbabit.

Baca artikel berkaitan: Polis lengkapkan kertas siasatan ADUN Perak

Positif dadah: Peguam sahkan ADUN DAP ditahan semalam

Menurut Terence, saksi tersebut telah pun memberi kenyataan kepada polis dan mengesahkan apa yang telah pun dilihat.

Ekoran itu, beliau memohon polis untuk menyiasat kejadian itu dengan orang ramai boleh menilai kenyataan beramarannya dan membuat kesimpulan sendiri.

“Walau bagaimanapun, saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah.

“Namun begitu, ramai yang telah membuat keputusan bahawa saya semestinya bersalah.

“Tiada apa yang berubah dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap pengundi serta tetap berpendirian bahawa dadah adalah permasalahan sosial dan akan terus berjuang menentangnya,” jelas beliau.

Terence, 54, menyandang jawatan ADUN selama dua penggal.

Semalam, Bernama melaporkan seorang ADUN Perak ditahan dalam serbuan polis di sebuah kelab malam di Perai.

Dia kemudiannya ditahan selepas didapati positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seksyen itu menetapkan bahawa mana-mana orang yang mengambil atau memberikan kepada dirinya sendiri apa-apa dadah berbahaya adalah bersalah. Mereka yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Peguam, RSN Rayer kemudiannya mengesahkan Terence merupakan ADUN Perak yang telah ditahan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram