Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu GAMBAR: Abd Razak Aid

TIADA keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) walaupun spekulasi bertiup kencang bahawa situasi itu akan berlaku.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seperti dilaporkan Astro Awani.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal menegaskan, Bersatu akan tetap mengambil bahagian dalam PRN Johor sekiranya pembubaran berlaku.

“Jika DUN Johor dibubarkan tentunya ia satu perkara yang tidak begitu digemari orang ramai dan saya berpandangan mungkin tiada keperluan untuk perkara itu.

“Namun, jika ia tetap berlaku kerana semuanya di luar kawalan kami (Bersatu), maka kita terpaksa ambil bahagian dalam PRN itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Sukarelawan Pasca Banjir Kementerian Belia dan Sukan di Pagoh, hari ini.

Ketika ditanya sama ada Bersatu akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan beranggapan perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan.

Baca artikel berkaitan: Bukan luar biasa hadapi PRN Johor, kata Ahmad Zahid

Sebaliknya, kata beliau, semua pemimpin politik ketika ini harus memberi tumpuan untuk membantu rakyat berdepan musibah termasuk bencana banjir.

“Di peringkat Persekutuan, kami semua bekerja dengan baik dan memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri yang datangnya daripada BN.

“Mungkin ada segelintir yang fikir perlu ada perpecahan supaya menguntungkan mereka. Namun, saya kira, pada waktu ini semua ahli politik perlu faham, kita kena kurangkan berpolitik.

“Rakyat sudah letih dan muak dengan pelbagai musibah. Tunggulah nanti keadaan sudah reda barulah kita berpolitik,” jelas beliau.

Khabar angin pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam masa terdekat semakin banyak diperkatakan.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata beliau tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan untuk mengadakan PRN.

Menurutnya, kerajaan Johor masih memantau dan melihat keadaan semasa berhubung keperluan untuk mengadakan PRN.

Kerajaan Johor yang kini dipimpin Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai kelebihan satu kerusi susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember tahun lalu.

BN mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11) dan Pas pula satu kerusi menjadikan keseluruhan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram