HENDAK lihat bunga ini memang sukar. Kelopak bunganya berwarna putih, tangkainya halus dan saiznya sangat kecil. Figura tumbuhan ini pula seakan bulu-bulu halus.
Bunga unik ini dikenali dengan nama ‘Udumbara’ atau ‘Youtan Poluo’. Bentuknya seakan telur serangga dengan ukuran diameter hanya satu milimeter.
Udumbara memiliki saiz yang begitu kecil. Kehalusan bentuknya seperti benang menyebabkan ia sukar dilihat. Namun, bunga ini sinonim dengan kepercayaan sebuah agama. Udumbara dalam bahasa Sanskrit bermaksud bunga bertuah yang turun dari syurga.
Sejarah penceritaan bermula apabila bunga tersebut dikesan berada pada kepala patung di sebuah kuil di Seoul, Korea Selatan. Masyarakat di sana percaya bunga ini membawa makna dan tuah kepada sesiapa yang menjumpainya.

Bagaimana ia boleh hidup pada permukaan keras seperti itu tidak dapat dijelaskan secara tepat. Apa yang penting, ia dianggap magis dan ada keistimewaan yang tersendiri.
Pada tahun 2007, seorang petani dikenali sebagai Ding telah menemui flora ini pada sebatang paip besi di China. Penemuan itu terjadi tanpa disengajakan ketika dia berada di laman rumahnya. Bentuknya yang halus dan kecil menyebabkan ia sukar dilihat. Namun, keharumannya masih dapat dihidu apabila berada di sekitar lokasi kemunculannya.

Udumbara mempunyai kemampuan untuk tumbuh di mana-mana dan pada bila-bila masa. Selain pada patung kepercayaan masyarakat tertentu, bunga ini boleh muncul di daun, kipas, batu, besi, tingkap dan lain-lain lagi.
Pada tahun 2010, seorang biarawati China, Miao Wei mendapati sejenis bunga putih tumbuh di bawah mesin basuh di rumahnya. Awalnya, dia menyangka ia adalah telur serangga. Sangkaannya meleset apabila ‘telur’ berkenaan telah berkembang menjadi bunga pada keesokan harinya. Malah, turut mengeluarkan bau yang harum.
Keistimewaan lain yang sering dikaitkan dengan ‘bunga dari syurga’ ini ialah ia dikatakan berbunga setiap 3,000 tahun sekali. Dikatakan sebelum mencapai tempoh berkenaan, tumbuhan ini akan berada dalam keadaan menguncup. Fakta ini tidak dapat dibuktikan oleh saintis. Rata-rata ahli botani negara luar menemui jalan buntu apabila melibatkan kajian ke atas tumbuhan ini.
Betapa tidak, jangka masa yang dikaitkan dengan bunga unik ini bukan calang-calang kerana tempohnya terlalu lama. Jadi, siapa yang boleh menjalankan kajian sehingga memakan masa ribuan tahun?

Ada juga kepercayaan mengatakan bunga udumbara mampu bertahan sehingga tempoh satu tahun. Apabila kelopaknya tidak berkembang, ia wujud dalam bentuk seperti telur berwarna putih seperti yang sering ditemui.
Banyak percanggahan pendapat dalam menentukan fakta sebenar udumbara ini. Ada yang mengatakan ia datang daripada telur serangga yang menetas dan mati. Bahagian yang berwarna putih adalah sisa telur berkenaan. Namun, imej kedua-duanya (udumbara dan telur serangga lacewing) di bawah mikroskop kelihatan berbeza.
Telur serangga kebiasaannya mempunyai masa sekitar empat hingga lima hari sebelum menetas. Berlainan dengan udumbara, tumbuhan ini kekal dalam jangka masa lama tanpa mengalami proses ‘penetasan’.
Perdebatan tentang status udumbara ini masih tidak menemui kepastian. Apa yang pasti, tumbuhan unik ini boleh ditemui di beberapa buah negara iaitu China, Korea, Taiwan dan Amerika Syarikat.


_________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen