Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan baucar bantuan persekolahan Parlimen Padang Terap, hari ini.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih belum memutuskan untuk bertanding secara solo atau sebaliknya sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan parti itu sentiasa bersedia menghadapi PRN Johor sekiranya perkara itu tidak dapat dielakkan.

Menurut beliau, keputusan untuk bertanding secara solo atau tidak dalam PRN Johor hanya akan diputuskan secara konsensus oleh kepemimpinan parti itu apabila tiba masanya nanti.

“UMNO dan BN sentiasa bersedia jika itulah keputusan Johor (PRN).

“Sama ada kita bertanding secara bersendirian atau bersama rakan-rakan lain, itu akan ditentukan secara konsensus oleh kepemimpinan tertinggi parti.

“Sebagai Naib Presiden, saya tak berhak bercakap bagi pihak parti dan semuanya terpulang kepada kepimpinan peringkat Pusat,” katanya.

Mahdzir berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan Baucar Bantuan Persekolahan 2022 di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Padang Terap, hari ini.

Baca artikel berkaitan: BN terus kekal bertanding solo dalam pilihan raya

Beliau diminta mengulas kemungkinan pembubaran Dewan Undang Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Khabar angin pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam masa terdekat semakin banyak diperkatakan.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata beliau tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan untuk mengadakan PRN.

Menurutnya, kerajaan Johor masih memantau dan melihat keadaan semasa berhubung keperluan untuk mengadakan PRN.

Kerajaan Johor yang kini dipimpin Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai kelebihan satu kerusi susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember tahun lalu.

BN mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11) dan Pas pula satu kerusi menjadikan keseluruhan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram