Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (kiri).

YAYASAN Bank Rakyat (YBR) membuka permohonan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) fasa pertama bagi tahun 2022 kepada pelajar bagi melanjutkan pengajian ke peringkat sijil kemahiran, diploma kemahiran/akademik, ijazah sarjana muda, profesional dan sarjana di universiti awam serta swasta di dalam negara.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada bantuan YBR kepada pelajar yang terkesan rentetan daripada musibah banjir yang melanda negara Disember lalu untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Tambah beliau lagi, untuk fasa pertama, YBR telah memperuntukkan sebanyak RM3.81 juta bagi pembiayaan pendidikan ini kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun dan telah mendapat tempat di institusi pengajian tinggi.

Megat Zulkarnain turut memaklumkan permohonan PPBU YBR ini akan dibuka bermula 15 Februari sehingga 15 Mac 2022.

“Sejak penubuhannya pada tahun 2007, Yayasan Bank Rakyat telah menyediakan peruntukan pembiayaan pendidikan lebih dari RM165 juta sebagai komitmen dalam bidang pendidikan demi memastikan anak-anak yang merupakan aset Negara berupaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca: Yayasan Bank Rakyat salur bantuan kepada mangsa banjir di Serdang

Sehingga kini, pembiayaan pendidikan YBR telah memberi manfaat kepada 5,964 pelajar dari pelbagai latar belakang dan sosioekonomi dan seramai 3,830 graduan telah menamatkan pengajian di peringkat pengajian tinggi serta membuktikan komitmen YBR dalam mengekalkan kesan jangka panjang terhadap sektor pendidikan.

Permohonan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) YBR ini boleh dilakukan melalui laman web di www.yayasanbankrakyat.com.my.