BARU-baru ini, penyanyi Najwa Latif atau nama sebenar Imratul Najwa Abdul Latif, 27, telah melancarkan single baharu berjudul Bertenang.

Menurut Najwa, lagu ciptaan sepenuhnya Ell Ghee dan susunan muzik oleh Amzar Sabri itu adalah hadiah buat peminat yang selama ini menjadi tulang belakangnya dalam industri seni tanah air.

Malah, walaupun kini dia sedang sibuk bekerja sebagai seorang tenaga pengajar di sebuah universiti swasta, ia bukanlah halangan buat dirinya untuk terus berkarya.

“Bertenang merupakan sebuah lagu untuk mengingatkan kita bahawa kekurangan yang ada pada diri kita boleh jadi satu kelebihan dan untuk kita, sentiasa bertenang dalam menghadapi segala cabaran di setiap fasa kehidupan.

“Banyak mesej positif yang boleh kita ambil dalam lagu ini. Paling menyeronokkan apabila buah tangan baharu saya ini dapat memberikan nilai baik kepada orang ramai. Saya harap kita semua dapat belajar menghargai diri kita sendiri.

“Saya rasa tanpa sokongan pendengar lagu ini tak mungkin dilancarkan. Sempena tahun baharu, berilah penghargaan kepada diri anda kerana sentiasa kuat berdepan apa jua ujian selama ini,” katanya memetik laporan mStar.

Tambah Najwa, dia mengakui menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan dalam menghasilkan lagu ini dan meluahkan rasa syukur segalanya dipermudahkan dengan kerjasama pihak yang terlibat.

“Awalnya cabaran itu berkaitan dengan susunan lagu. Selepas beberapa bulan, cabaran untuk rekodkan lagu dan selepas itu mencari produksi untuk muzik video tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

“Tapi syukur alhamdulilah saya dapat berjumpa dan bekerjasama dengan ramai orang yang sudi dengan lagu Bertenang ini seperti Amzar Sabri untuk susunan lagu dan penerbit dan MTAS Production untuk muzik video,” ujarnya.

Untuk info, lagu Bertenang sudah dilancarkan di Youtube Najwa Latif sejak dua minggu yang lalu dan sehingga kini mendapat lebih 300,000 tontonan daripada warganet.