BINTANG Bollywood terkenal, Aishwarya Rai Bachchan, 49, berkongsi kisah percintaannya dahulu bersama pelakon tampan, Salman Khan, 57.

Menurut laporan India Today, Salman adalah cinta pertama Aishwarya dan kisah percintaan mereka mula menjadi kontroversi sekitar tahun 1999 menerusi drama Hum Dil De Chuke Sanam.

Aishwarya dan Salman kemudiannya menjalin hubungan sebagai pasangan kekasih selama tiga tahun.

Namun, Aishwarya telah mengambil keputusan untuk memutuskan tali percintaan itu disebabkan Salman adalah seorang yang cemburu buta sehingga sanggup melakukan kekasaran terhadapnya.

“Kami putus pada Mac 2002, tetapi dia susah nak menerima kenyataan ini pada awal-awalnya dan dia mula bertindak kasar. Dia telefon saya, datang jumpa saya dan cakap kasar,” kata Aishwarya.

Tambah Aishwarya, Salman menuduhnya menjalin percintaan bersama Shah Rukh Khan dan tidak segan silu untuk melakukan kekasaran terhadapnya di hadapan umum.

Malah, Aishwarya pernah digugurkan daripada penggambaran Chalte Chalte dan wataknya telah digantikan oleh Rani Mukerji.

Bagaimanapun, isteri kepada pelakon terkenal, Abhishek Bachchan itu luah syukur percintaannya bersama Salman telah berakhir dan ia adalah satu sejarah yang menyedihkan dalam hidupnya.

Untuk info, bekas juara Miss World 1994 itu telah mendirikan rumah tangga bersama Abhishek Bachchan pada 20 April 2007 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Aaradhya Bachchan.