PEREKA fesyen terkenal yang turut berjinak-jinak dalam dunia nyanyian, Ezuwan Ismail berkongsi cerita dan pengalamannya menyediakan busana untuk penyanyi Adibah Noor.

Ezuwan menyifatkan Adibah yang layak ke separuh akhir pertandingan Gegar Vaganza (GV) musim kelapan malam ini sangat menyenangkan dan tidak cerewet biarpun sudah mengenali lebih 10 tahun lalu. 

Malah lucunya, Ezuwan berkata dalam tempoh sedekad, hanya beberapa kali sahaja mereka dapat bertemu secara bertentang mata.

“Kali pertama jumpa masa dia sedang hoskan sebuah acara fesyen di pusat beli belah KLCC. Masa itu saya teman Allahyarham Kak Pah (Datuk Sharifah Aini) jadi ‘muse’. 

“Dia tengok baju arwah pakai masa itu dan cakap berkenan. Tambah pula dia dan arwah bertubuh comel atau ‘plus size’. 

“Selepas itu, dia pernah datang ke rumah saya untuk mengambil ukuran badan. Ketika itu saya belum ada butik lagi. Selebihnya kami hanya berhubung menerusi telefon bimbit atau bermesej di aplikasi WhatsApp.

“Bayangkan sampai saya sudah ada butik, dia tak pernah jejakkan kaki ke sana. Selepas itu, adalah beberapa kali kami berjumpa untuk sesi ‘fitting’ dan ukuran bajunya tidak ketara berubah,” kata Ezuwan kepada URTV.

Tambah Ezuwan lagi, dia senang dengan sikap penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu yang memberi kepercayaan kepadanya untuk memilih rekaan bersesuaian dengan penampilannya.

“Apabila baju yang ditempahnya untuk acara atau pertandingan siap dijahit, saya hanya akan sediakan invois untuk bayaran. 

“Selepas itu hanya pembantu peribadi atau pekerjanya yang datang ambil pakaian di butik. Dia hanya cakap nak warna baju itu dan  ini dengan jumlah tertentu. Perihal rekaan, semuanya dia serahkan kepada saya. 

“Dia tidak akan bertanya atau nak melihat terlebih dahulu rekaan yang saya hasilkan untuknya. Bab rekaan, jenis kain atau potongan, apa yang dia utamakan adalah keselesaan dan nampak elegan walaun berukuran ‘plus size’.

“Keserasian dan kepercayaan itu mungkin menjadi sebab kami terus bekerjasama. Dia tidak takut untuk mencuba warna apa sekalipun. Dia pakai apa yang diingini, janji selesa,” kongsinya.

Kata Ezuwan, dia pernah ingin menaja pakaian yang disarung Adibah, namun ditolak dengan baik oleh penyanyi itu.

“Pernah saya nak taja baju untuknya. Tapi dia menolak sebab nak menyokong ‘survivor’ pereka fesyen seperti saya. 

“Dulu terlintas hati nak taja masa dia mengacarakan Anugerah Industri Muzik tetapi ditolak juga.

“Malah kalau ulang tahun hari lahirnya, saya nak hadiahkan baju. Dia tetap dengan pendirian nak bayar atau paling kurang pun, dia hanya akan bersetuju bayar separuh kos baju itu seperti komitmennya sepanjang di GV 8,” ujarnya.

Sementara itu, Ezuwan mengaku kerjasama 10 tahun yang terjalin antara mereka pernah terhenti seketika.

“Dijadikan cerita pernah satu ketika, baju yang dia nak tempah, saya tak dapat penuhi kerana terlalu sibuk dengan komitmen menyiapkan baju kahwin. Ikutkan selama ini, ada permintaan saat akhir kerana situasi tak terduga… saya boleh penuhi.

“Masa itu, dia guna khidmat pereka fesyen lain. Selang beberapa ketika, dia kembali kepada saya.

“‘Merajuk’ dia tak lama.  Saya minta maaf kepadanya kerana bukan sengaja berbuat begitu dan kemudian kerjasama antara kami terjalin semula.

“Dia terus sokong khidmat dan kepakaran saya.  Hingga kini hampir 1000 helai jugalah baju yang telah ditempah oleh Adibah.

“Apabila sudah selesa dan diberi kepercayaan penuh, saya sampai satu tahap bimbang mengulang siar rekaan baju. Tapi setakat ini ia belum terjadi,” katanya.

Mengenang kembali persahabatan dan kerjasama mereka, Ezuwan teringat dengan  kata-kata seseorang mengenai beruntungnya siapa yang bergelar pereka fesyen kepada Adibah.

“Masin mulut yang cakap itu. ‘Jodoh’ saya dengannya kuat sampai sekarang. Bukan nak ‘bodek’ dia sebab guna khidmat saya. 

“Tapi saya pernah dengar ada yang dakwa dia diva dan cerewet. Namun sepanjang kerjasama kami, dia sangat ‘sempoi’ dan tidak seperti digambarkan.

“Pada akhirnya saya cuba berikan yang terbaik untuknya.  Tambah pula, dia barangkali percaya bukan mudah untuk orang bertubuh gebu mendapat pakaian sesuai.

“Jika ada rezeki ke ‘final’, semestinya saya nak siapkan baju paling meletop untuknya,” katanya sambil mengakui tidak mempunyai gambar berdua bersama lantaran tidak selalu berjumpa.

Selain Adibah, pentas separuh akhir GV8 turut menyaksikan Suki Low, Aliff Aziz, Aweera, Nikki Palikat, Azan Scan, Ani Mayuni dan Shidee.