wanita ramai masuk neraka
Sekadar gambar hiasan

Hidup di dunia ini adalah medan ujian. Jin dan manusia dicipta oleh Allah untuk beribadat kepada-Nya tanpa syirik. Allah telah menciptakan kematian dan kehidupan bertujuan menguji siapakah di antara makhluk-makhluk-Nya yang lebih baik daripada sudut amalan. Tidak kira sama ada makhluk itu lelaki mahupun wanita, ujian diberikan untuk menentukan siapa yang lebih bertakwa.

Orang yang lebih bertakwa adalah lebih disayangi oleh Allah berdasarkan firman-Nya dalam surah al-Hujurat:13

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Jika dilihat kepada penciptaan lelaki dan wanita, pasti kita akan dapat melihat perbezaannya baik daripada sudut spiritual mahupun fizikal. Begitulah Allah telah menggambarkan perbezaan ini dengan firman-Nya dalam surah Ali Imran: 36  

Dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan.”

Apabila wujud perbezaan antara lelaki dan wanita, maka kita akan dapati dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah juga membezakan antara mereka. Setiap satu diberikan tanggungjawab dan peranan mengikut kehebatan dan kemampuan yang ada. Setiap satu juga diberikan amaran dan peringatan mengikut kelemahan masing-masing. Setiap satu juga dilarang meniru gaya dan gerak-geri yang lain.

Begitulah adil dan rahmatnya agama Islam terhadap lelaki dan wanita. Jati diri dipelihara bukan sahaja daripada sudut keagamaan namun merangkumi sudut kemanusiaan dan kejadian. Di dalam satu hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda,  

“Wahai kaum wanita bersedekahlah kamu dan banyakkan istighfar. Kerana aku melihat kamu yang paling banyak menjadi penghuni neraka.” Seorang wanita yang pintar di antara mereka bertanya, “Wahai Rasulullah kenapa kami yang paling banyak menjadi penghuni neraka?”

Rasulullah bersabda, “Kalian banyak mengutuk dan mengingkari (kebaikan) suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal daripada golongan kamu.” Wanita itu bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, apakah maksud kekurangan akal dan agama itu?

Rasulullah bersabda, “Maksud kekurangan akal ialah persaksian dua orang wanita sama dengan persaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mengerjakan solat pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka puasa pada bulan Ramadan (kerana haid), maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.” HR Muslim & Bukhari

Hadis yang dinyatakan di atas menyebut bahawa wanita adalah majoriti penghuni neraka. Seperti mana-mana hadis yang membicarakan tentang perkara ghaib, pendirian umat Islam adalah al-Taslim iaitu menerima. Ini kerana sifat utama orang yang bertakwa ialah beriman dengan perkara ghaib.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah: 2 dan 3. “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

Perhatikanlah bagaimana Allah menjelaskan bahawa ciri pertama orang yang bertakwa ialah beriman dan mempercayai perkara ghaib, disusuli dengan menunaikan solat dan berinfaq.

Wanita begitu mudah masuk ke syurga namun ramai kalangan mereka menjadi penghuni neraka

Al-Shaikh Muhammad Salih al-Munajjid, salah seorang ulama di Timur Tengah menjelaskan, hadis-hadis yang zahirnya mencela wanita ini tidak membawa maksud mencela keseluruhan wanita.

Hadis ini tergolong dalam himpunan hadis-hadis al-Wa‘id (ancaman). Fungsi hadis ancaman ialah memberi amaran terhadap sesuatu amalan maksiat dan menjelaskan dosa serta balasan terhadap orang yang melakukannya. Tujuannya untuk menegah orang yang berakal daripada terjerumus dalam perbuatan itu.

Beliau menjelaskan lagi, hadis ini juga menyebut wanita kerana jika dilihat secara umum dan global, wanitalah yang sering kali membawa sifat yang dicela dalam hadis ini, iaitu “mengutuk dan mengingkari (kebaikan) suami”.

Akan tetapi jika ada lelaki yang membuat perkara yang sama iaitu “mengutuk dan mengingkari (kebaikan) isteri” maka dia juga termasuk dalam ancaman ini. Namun, secara umum dan global, perbuatan ini kurang berlaku pada lelaki berbanding wanita.

Beliau juga menambah bahawa wanita-wanita yang solehah dan sentiasa mensyukuri nikmat Allah Taala dan menghargai kebaikan suami, terpelihara daripada ancaman di dalam hadis ini. Sebaliknya mereka akan tergolong dalam calon-calon ahli syurga di kalangan wanita.

Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.

Sekiranya seorang wanita itu solat lima waktunya, puasa bulan Ramadannya, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya; akan dikatakan kepadanya, “Masuklah syurga dari mana-mana pintu syurga yang kamu suka.”HR Ahmad, dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’

Apabila kita berbicara tentang hadis di atas dan yang membawa maksud sepertinya, kita akan dapati wujud sedikit perasaan emosi, khususnya di kalangan sebahagian wanita. Mungkin ada yang susah menerima hadis-hadis itu kerana nampak seperti tidak adil untuk dia yang dilahirkan sebagai wanita.

Mungkin juga ada yang membuat perbandingan antara kejahatan wanita dan kejahatan lelaki, lalu mendapati ramai lelaki yang jahatnya mengalahkan wanita. Dalam hal ini, hendaklah kita berbincang dalam keadaan ilmiah dan bukannya dalam keadaan emosi.

Ikutilah tertib perbincangan seperti berikut;

Pertama: Apa sahaja yang datang daripada al-Quran dan hadis yang sahih dan hasan hendaklah kita terima dengan hati yang terbuka.

Kedua: Jika kita dapati terdapat ungkapan yang sukar difahami atau sukar diterima, rujuklah kepada para ulama dan ahli ilmu yang akan menghuraikan maksud sebenar ungkapan itu.

Ketiga: Jangan sekali-kali berbincang dalam keadaan emosi, marah dan prejudis. Sebaliknya berbincanglah dengan penuh kesantunan dan rasional.

Al-Imam Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, wanita tidak dicela atas kekurangan agama dan akal. Ini kerana dua kekurangan ini adalah sesuatu yang terdapat dalam dirinya sebagai seorang wanita.

Sebaliknya, maksud sebenar hadis ini ialah memberi amaran agar jangan terpengaruh dengan kekurangan ini.

Disebabkan inilah kita dapati Rasulullah s.a.w. mengaitkan azab neraka dengan perbuatan wanita yang mengingkari kebaikan suami dan bukannya dengan kekurangan agama mahupun akal wanita itu.

Melalui penjelasan ini, kita dapat memahami bahawa isu dalam hadis ini ialah mencegah wanita Muslimah daripada melakukan perbuatan maksiat yang sering dilakukan oleh wanita iaitu mengingkari kebaikan suami. Hadis ini tidak pula menafikan wujudnya maksiat lain yang dilakukan oleh lelaki ataupun wanita seperti membunuh, mengumpat dan sebagainya. Wallahu a’lam

_____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare