PENYANYI Salma Asis atau nama sebenar, Salmah Andi Asis, 31, berkongsi wajah cahaya mata keempatnya yang telah selamat dilahirkan pada 1 Disember lalu.

Menerusi di Instagramnya, Salma memaklumkan dia baru sahaja selesai menjalani pantang selama 44 hari dan anak perempuannya itu diberi nama Irfa Miqaila.

Tambah Salma, dia bersyukur hasratnya untuk melahirkan secara normal telah dimakbulkan Allah walaupun pada awalnya doktor menyarankan secara pembedahan.

“Bismillah, selesai sudah berpantang 44 hari. Perkenalkan anak perempuan saya Irfa Miqaila lahir pada 1 Disember berat 3.46kg. Alhamdulilah Allah dengar doa saya untuk bersalin normal.

“Enam tahun lepas bersalin secara pembedahan, doktor kata lebih baik bersalin secara pembedahan, tapi saya tetap juga nak bersalin secara normal. Syukur doa diperkenankan,” katanya.

Malah, isteri kepada penyanyi Azri Abdullah itu tidak menafikan kehamilan kali ini agak mencabar ekoran keadaan kesihatan yang tidak stabil.

“Mengandung kali ini memang mencabar, banyak penyakit datang tapi biasa la hormon tak sama dengan tak mengandung. Jadi kita kena reda. Syukur semua selamat,” luahnya.

Sementara itu, tinjauan URTV ke ruangan komen mendapati rakan-rakan artis dan netizen menzahirkan ucapan tahniah buat penyanyi yang terkenal menerusi lagu Cinta Yang Abadi.
“Masya-Allah comel sangat, alhamdulilah tahniah sayangku. Gebunya bayi,” kata @Farahdianaanuar.

“Tahniah Sayang,” ujar @Jaclynvictor.

“Lama tak jumpa, hamil pun tak tahu. Sedar-sedar dah bersalin. Tahniah,” ucap @Mistahery.

Terdahulu, Salma dikurniakan dua orang cahaya mata menerusi hasil perkahwinannya yang pertama iaitu Putri Nurul Huda, 15 dan Khairul Anuar, 10.

Kemudian, Salma telah selamat disatukan bersama Azri pada 31 Januari 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Andi Raisya, 7.