Sebahagian penduduk membersihkan kediaman mereka selepas banjir surut di Taman Seri Muda, Shah Alam, baru-baru ini. - GAMBAR: Abd Razak Aid

Oleh NUR ALIA MOHD HISAM

BARU-BARU ini, seperti yang kita semua sedia maklum, banjir besar telah berlaku di beberapa kawasan di seluruh negara, termasuklah di ibu negara Kuala Lumpur. Disebabkan tiada persediaan awal yang dilakukan oleh orang ramai, banyak kerosakan berlaku terhadap harta benda.

Keadaan tersebut telah menyebabkan kerugian yang besar kepada mangsa yang terlibat dan ketika ini kerja-kerja pembersihan giat dijalankan, terutama membaik pulih rumah yang rosak. Pelbagai badan NGO dan sukarelawan di Malaysia telah menyertai dan membantu mangsa-mangsa banjir yang terlibat ini mengemas dan mencuci kediaman mereka.

Namun, terdapat beberapa isu yang perlu dititikberatkan ketika melakukan kerja pembersihan atau membaik pulih rumah bagi mengelakkan berlakunya kecederaan.

Seperti yang kita lihat di dalam gambar yang telah di kongsi oleh mangsa banjir, kebanyakan rumah mereka telah dilumuti dengan lumpur yang tebal sehinggakan ia sukar untuk di cuci. Selain itu, perabot kayu dan barangan elektrik juga turut terjejas.

Untuk mengelakkan kejadian seperti kecederaan berlaku kepada petugas yang membersihkan kawasan selepas dilanda banjir. Terdapat beberapa langkah-langkah keselamatan yang mudah boleh diikuti oleh sukarelawan yang terlibat dalam usaha murni ini. Langkah-langkah tersebut ialah:-

Langkah pertama adalah dengan memakai pakaian yang sesuai dan mudah untuk bergerak. Kasut but dan sarung tangan getah juga adalah alatan yang amat penting untuk dipakai bagi mengelak terpijak atau terkena benda yang tajam ketika mencuci.

Langkah kedua, memastikan punca utama elektrik dimatikan bagi mengelakkan renjatan elektrik ketika kerja pembersihan berlaku terutamanya jika air masih ada.

Langkah yang ketiga adalah dengan melakukan pemeriksaan di dalam rumah atau tempat bagi memastikan haiwan dan serangga berbahaya seperti ular, lipan atau kala jengking tidak menjadi ancaman.

Langkah seterusnya adalah dengan memeriksa tempat-tempat yang mungkin boleh menjadi tempat persembunyian haiwan-haiwan tersebut seperti di belakang almari, kerusi atau kabinet dan lain-lain.

Langkah yang terakhir adalah dengan memastikan keadaan struktur rumah selamat bagi mengelakkan kecederaan akibat objek terjatuh semasa berada di dalam rumah. Langkah mudah ini dapat membantu org ramai bagi mengelak daripada kejadian yang tidak diingini berlaku.

  • PENULIS adalah pelajar Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UITM).