SALAH satu undang-undang pelik yang pernah wujud ialah ‘undang-undang hodoh’ (ugly law) yang pernah dilaksanakan di beberapa bahagian di Amerika Syarikat suatu ketika dahulu.

Peraturan yang dilaksanakan sejak tahun 1860 an ini bukan untuk individu berwajah buruk. Sebaliknya, ia ditujukan kepada golongan yang dianggap memberi pandangan hodoh di sesuatu tempat. Selalunya mereka yang terkena dengan peraturan ini adalah golongan orang kelainan upaya (OKU), miskin dan juga pengemis.

Ketika itu, beberapa bandar di Amerika menguatkuasakan undang-undang ini. Ketegasan undang-undang itu menyebabkan golongan yang ‘hodoh’ ini tidak boleh berada di tempat awam, bahkan ada yang diarahkan keluar dari bandar tersebut.

Sumber Arkib Eugenik Kanada melaporkan bahawa San Francisco adalah bandar pertama yang melaksanakan undang-undang ini pada tahun 1867.

Berdasarkan perintah nombor 783 yang dikuatkuasakan pada masa tersebut, golongan miskin, berpenyakit atau cacat dilarang sama sekali untuk memunculkan diri di tempat-tempat awam. Peraturan ini termasuk larangan ke atas aktiviti mengemis di tepi-tepi jalan.

Pendek kata, apa saja perkara yang melibatkan kelompok manusia kurang bernasib baik ini adalah dilarang sama sekali. Hal ini disebabkan oleh mereka dipandang sebagai ‘objek’ yang menjijikkan serta mengganggu pandangan orang ramai di serata tempat. Tindakan akan diambil sekiranya didapati melanggar undang-undang itu.

Jika ditangkap dan didapati bersalah, mereka perlu membayar wang sebagai hukuman di atas kesalahan ‘mengganggu’ suasana bandar. Denda bernilai USD1 (RM4) hingga USD50 (RM206) dikenakan ke atas pesalah. Sesetengah pendapat mengatakan mereka turut dijatuhi hukuman penjara selama 25 hari jika gagal membayar penalti.

Golongan miskin, cacat atau berpenyakit dianggap menjijikkan pemandangan.

Bagi mengelak diri daripada didakwa, golongan kurang bernasib baik ini terpaksa menyembunyikan diri daripada pandangan umum sepanjang undang-undang itu dikuatkuasakan.

Selain San Francisco, terdapat beberapa buah bandar lain yang terlibat dalam melaksanakan peraturan pelik ini. Antaranya seperti Portland, Denver, New Orleans, Omaha dan Chicago.

Pada tahun 1916, seorang wanita dikenali sebagai Ibu Hastings diberitahu oleh pihak berkuasa bahawa keadaannya menimbulkan ketakutan terhadap kanak-kanak. Hastings telah diberi wang untuk keluar dari bandar Portland. Dia yang mengalami kecacatan pada anggota tangan terpaksa akur dan berpindah ke lokasi baru di Los Angeles.

Sementara itu, pada tahun 1974, seorang lelaki gelandangan ditahan oleh pegawai polis kerana tidak mempunyai rumah sebagai tempat tinggal. Keadaan tubuhnya yang berparut dan memiliki tanda juga menjadi penyebab kepada penahanan tersebut. Kejadian ini dikatakan berlaku di Omaha, salah satu bandar yang turut menguatkuasakan undang-undang hodoh.

Penindasan terhadap golongan kurang bernasib baik banyak berlaku sepanjang peraturan ini dilaksanakan. Berdasarkan buku berjudul ‘The Ugly Laws: Disability in Public’ oleh Susan M. Schweik, apabila undang-undang ini dikuatkuasakan, ia dilaksanakan hampir sepenuhnya terhadap golongan gelandangan. Malah, perintah berkenaan dijalankan tanpa mempedulikan keadaan golongan tersebut yang sakit atau cacat dan tidak memiliki keupayaan fizikal.

Buku berjudul ‘The Ugly Laws: Disability in Public’ ditulis oleh Susan M. Schweik.

Pada anggapan pemerintah, kumpulan ini kelihatan hina yang mencacatkan pemandangan. Kewujudan sesetengah individu yang melakukan penyamaran semata-mata mahu meraih simpati daripada orang awam turut dijadikan alasan mengapa undang-undang ini diasaskan.

Kononnya, peraturan ini dianggap sebagai cara untuk melindungi rakyat daripada pandangan dan persekitaran ‘negatif’. Akan tetapi, tanpa sedar ia membangkitkan diskriminasi kerana jelas meminggirkan isu kemiskinan dan kecacatan.

Undang-undang hodoh dianggap sebagai satu penindasan ke atas golongan yang kurang bernasib baik. Tidak kira sama ada OKU atau miskin, pandangan serta cara layanan yang menghina mereka tidak sepatutnya berlaku.

Sikap prejudis ini menimbulkan jurang yang ketara dalam kehidupan manusia. Bagi mengelak perkara itu daripada terus berlaku, bantahan terhadap peraturan tersebut telah dibuat.

Golongan cacat atau berpenyakit akan ditahan sekiranya didapati berada di kawasan awam.

Menjelang tahun 1970 an, kebanyakan bandar-bandar yang terlibat telah mula menghapuskan peraturan bersifat diskriminasi ini. Difahamkan, Chicago merupakan bandar terakhir yang menggugurkan pelaksanaan undang-undang hodoh ini pada 1974.

Pada tahun 1990, Kongres meluluskan undang-undang baru dikenali sebagai Akta Orang Kurang Upaya Amerika (ADA). Peraturan ini melarang sebarang bentuk penganiayaan serta diskriminasi ke atas golongan cacat. Juga, ia secara tidak langsung meluaskan perlindungan ke atas mereka yang mengalami masalah mental atau fizikal.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen