DEBUT lagu Patung setahun lalu yang dinyanyikan ternyata menjadikan nama penyanyi remaja Irfan Haris yang sedang menginjak dewasa ini disebut-sebut sebagai pelapis muda industri muzik tanah air.

Dengan memiliki vokal yang unik, anak muda asal Johor Bahru, Johor, kini muncul dengan single terbaharu berjudul Milik terbitan Rocketfuel Entertainment.

Single yang berentak pop moden ini telah dicipta oleh Irfan sendiri bersama barisan komposer-komposer terkemuka tanah air seperti Mike Chan, Ajay Amai, Nick Ariff, Glow Rush, Nappie Hassan dan Kaler-J.

“Lagu ini berkisar tentang kisah percintaan dalam sebuah perhubungan yang asalnya merupakan hubungan di antara dua rakan baik yang kemudiannya ‘hati’ rakan baiknya itu menjadi miliknya, dan hubungan itu menjadi sangat istimewa buat lelaki tersebut.

“Kali ini saya membawakan genre pop moden yang tak pernah saya nyanyikan sebelum ini kerana inginkan kelainan dan mencuba sesuatu yang baru, selain mencabar diri untuk keluar dari zon selesa.

“Lagu ini juga turut memaparkan sisi vokal yang lebih dewasa sesuai dengan usia saya sekarang,” kata penyanyi berusia 20 tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai single Milik, Irfan berkata, proses rakaman lagu berkenaan mengambil masa empat jam dan agak pendek berbanding dengan lagu-lagu yang pernah dirakamkan sebelum ini.

“Banyak yang saya pelajari ketika berada di studio rakaman. Selain perkara baru, ramai juga orang baru yang dapat saya bekerjasama di antaranya komposer tersohor iaitu Mike Chan.

“Mike banyak memberi tunjuk ajar serta ‘input’ yang menarik dan kreatif dalam menjiwai lagu ini agar dapat dinyanyikan dengan baik semasa di studio,” ulasnya.

Tambah Irfan, video muzik (MV) Milik telah menjalani proses penggambaran sejurus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimansuhkan oleh kerajaan dan mengambil masa selama satu hari untuk disiapkan.

“Saya juga sangat teruja dengan konsep video muzik ini yang memaparkan kisah cinta di kolej, di mana saya percaya ramai remaja pernah berdepan dengan situasi sebegini, MV lagu ini sangat ringkas namun pasti memberi impak terhadap sesiapa yang menontonnya.

“Saya berharap agar pendengar dapat menerima lagu ini kerana ia nyata berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini. Dalam usia 20 tahun, saya harus lakukan sesuatu yang segar dan baru untuk terus berkembang sebagai seorang penyanyi.

“Semoga ramai terhibur dengan Milik dan bersyukur kalau ada yang menyukainya dan teruslah menyokong karya anak-anak tempatan,” akhirinya.

Penuntut tahun akhir jurusan diploma dalam bidang Seni Hiburan di KDU University College ini memilih untuk memberi fokus kepada bidang pelajaran terlebih dahulu.

“Pihak pengurusan Rocketfuel tidak pernah menghalang hasrat saya yang ingin meneruskan pelajaran dan mereka sangat memahami kehendak saya yang mahu menimba ilmu terlebih dahulu.

“Bayangkanlah ketika PKP, saya terpaksa melakukan aktiviti kuliah secara atas talian seperti berlakon, menyanyi dan menari, dan ternyata ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan,” ujarnya.

Milik boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network.