PELAKON terkenal Azhan Rani dikhabarkan telah dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada tengahari semalam.

Berita duka itu dikongsi sendiri oleh rakan baik Azhan iaitu pelakon Beto Kusyairy yang memuat naik sebuah hantaran di Instagramnya pada Selasa.

“Amanah dari sahabatku Azhan Rani, dukacita ingin menyampaikan pada semua yang beliau telah terlibat dengan kemalangan motosikal pada tengahari semalam (Isnin). Alhamdulillah keadaannya stabil dan masih dalam jagaan pakar.

“Pada semua sahabat, kenalan dan wartawan yang cuba menghubunginya secara peribadi, beliau mohon maaf kerana tak dapat nak jawab segala panggilan dan mesej untuk sementara waktu ni.

“Namun beliau tetap menghargai segala perasaan ambil berat ke atas dirinya. Sama-sama kita doakan beliau agar segera sembuh dan kembali pulih seperti sediakala, aamin,” kongsi Beto.

Difahamkan, menerusi laporan Harian Metro, Beto memberitahu, Azhan ketika itu di dalam perjalanan ke lokasi penggambaran dan mengalami kecederaan di bahagian kiri tubuhnya.

“Ketika kejadian Azhan terlebih dahulu dikejarkan ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke sebuah hospital swasta. Ketika dirawat dia diberikan ubat tahan sakit pada dos yang tinggi kerana menahan kesakitan.

“Setakat ini, apa yang saya dimaklumkan melalui ujian imbasan X-ray yang dijalankan, Azhan mengalami beberapa kecederaan di anggota badan seperti tulang belikat pecah, tulang bahu dan rusuk retak. Kesemua kecederaan yang dialami adalah di bahagian kiri badannya,” jelasnya.

Tambah Beto, pelakon drama Nur itu masih menunggu laporan ujian imbasan tomografi berkomputer atau CT Scan bagi mengetahui secara lebih terperinci akan kecederaan yang dialami.

“Setakat ini saya hanya mampu bercakap melalui telefon saja dengannya kerana pelawat belum boleh dibenarkan masuk kerana Azhan kini masih dalam bilik kuarantin. 

“Saya diberitahu Azhan masih menunggu laporan ujian CT Scan yang dijalankan untuk mengetahui kecederaan yang dialami dengan lebih teliti. Harap-harap tiada kecederaan yang teruk berlaku kepadanya,” ujarnya.

Sumber: Instagram Beeto & Hmetro