PIMPINAN tertinggi Pas didesak supaya memberi penjelasan segera kepada umum berhubung pengguguran Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat parti berkenaan.

Desakan itu hadir daripada Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menyifatkan Mohd. Khairuddin sebagai antara figura utama pemimpin Pas kerana merupakan seorang bekas menteri dan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.

Menurut Nik Mohamad Abduh, penjelasan perlu diberikan kepada umum, bukan hanya kepada ahli parti sahaja jika pengguguran itu disebabkan masalah disiplin.

Ia kerana, kata beliau yang juga AJK Pas Pusat, isu pengguguran Mohd. Khairuddin itu telah diumumkan kepada umum secara rasmi oleh pimpinan parti, bukan bocor atau tular.

“Maka menjadi hak umum, bukan hanya ahli Pas untuk mengetahui sebab pengguguran tersebut.

“Tiga pihak yang akan terjejas atau rasa terhiris dengan keputusan tersebut tentunya diri beliau (Mohd. Khairuddin) sendiri, penyokong atau pastinya Majlis Syura Ulama kerana beliau memegang satu jawatan besar yang termaktub dalam Perlembagaan Pas.

“Justeru, saya kira penjelasan rasmi harus diberikan segera kerana ia boleh membina persepsi yang baik kepada parti.

“Pas sekarang memerintah negara. Segalanya mesti telus apabila melibatkan ahli parti yang memegang amanah rakyat. Beliau adalah wakil rakyat Parlimen Kuala Nerus,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Baca artikel berkaitan: Khairuddin tumpu tugas dalam Majlis Syura Ulama

Mengulas lanjut, Nik Mohamad Abduh turut membidas seorang pemimpin Pas yang menunjuk ‘bekeng’ apabila mencabar Mohd. Khairuddin menyatakan alasan pengguguran.

Logiknya, Nik Mohamad Abduh berkata, Mohd. Khairuddin yang patut mencabar kerana telah digugurkan dengan alasan disiplin yang masih belum diketahuinya secara rasmi.

“Biasanya tindakan disiplin parti didahului oleh kebisingan di luar.

“Lalu orang ramai terutama ‘orang surat khabar’ akan menunggu-nunggu apakah tindakan parti terhadap ahli parti yang buat bising-bising,” jelas beliau.

Sebelum ini, media melaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan Mohd. Khairuddin digugurkan daripada jawatan selaku AJK Pas Pusat bukan disebabkan isu Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, beliau mencabar Mohd. Khairuddin untuk menyatakan jika benar isu tersebut menjadi punca pemecatannya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu sah digugurkan daripada jawatan sebagai AJK Pas Pusat tidak sampai dua bulan dilantik.

Keputusan itu diumumkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kepada media, Jumaat lalu.

Pada 23 November lalu, Mohd. Khairuddin merupakan antara tiga pemimpin tertinggi Pas yang dilantik semula sebagai AJK Pas bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Mohd. Khairuddin diketahui umum sebagai antara segelintir pimpinan Pas yang lebih cenderung kepada permuafakatan dengan UMNO menerusi MN.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram