Enam pendatang asing tanpa izin ditemukan lemas manakala seorang lagi terselamat selepas bot yang dinaiki untuk ke perairan Malaysia, karam awal pagi tadi. GAMBAR: Bernama

SERAMAI tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam akibat dipukul ombak kuat di perairan Pontian awal pagi tadi, seorang daripadanya terselamat manakala enam lagi ditemukan lemas di kedudukan 3.5 batu nautika dari lokasi kejadian.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Nurul Hizam Zakaria berkata, sebelum itu, empat wanita dan dua lelaki diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan pada 10 pagi tadi, dan dengan penemuan terbaharu itu menjadikan kesemua 13 penumpang telah dijumpai.

“Dua mayat wanita dan seorang wanita terselamat ditemukan pada 1 tengah hari, kemudian empat mayat wanita terapung lengkap berpakaian dijumpai pada pukul 2.30 petang. Dengan penemuan terbaharu itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) ditamatkan pada pukul 3.45 petang ini,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Persatuan Nelayan Pontian, Pontian Besar, hari ini, Nurul Hizam berkat,a menurut siasatan awal bot itu yang dipandu dua tekong lelaki dan membawa 11 wanita bertolak dari Pulau Jalung, Batam, kira-kira pukul 9 malam tadi.

“Bagaimanapun, sebelum sampai ke destinasi, bot tersebut dipercayai dipukul ombak kira-kira setinggi 1.5 meter hingga tiga meter, di kedudukan 4.2 batu nautika dari perairan Pontian, tengah malam tadi,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Bot karam: Lapan lagi mayat dijumpai hari ini, jadikan 19 mayat kesemuanya

Pada operasi Carilamat berkenaan yang diaktifkan pada pukul 10.20 pagi, seramai 58 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi turut terlibat.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohamad Shofee Tayib berkata kesemua mereka yang berumur antara 25 hingga 35 tahun itu dipercayai mahu masuk ke negara ini secara haram, melalui jeti di Api-Api, di sini.

“Seorang daripada wanita berkenaan, kini kritikal dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah, manakala yang lain dihantar ke Hospital Pontian.

“Bagaimanapun, dua lelaki yang dipercayai tekong ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian dan akan dipohon reman, kedua-dua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” kata Mohamad Shofee.

Pada kejadian tengah malam tadi, sebuah bot fiber dengan 200 kuasa kuda sepanjang 6.096 meter, membawa 13 pendatang tanpa izin iaitu dua tekong lelaki dan 11 wanita untuk masuk ke negara secara haram, karam di perairan berkenaan.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare