PELAKON senior, Hamidah Wahab atau nama sebenar Hamidah Milah Wahab memaklumkan dia belum bersedia untuk meninggalkan dunia seni walaupun usia sudah berginjak ke-65 tahun.

Menurut Hamidah, dia yang mempunyai banyak pengalaman dalam industri seni lebih mengetahui masa yang sesuai untuk mengundur diri dalam dunia lakonan.

“Waktu muda saya pernah menjadi model, ketika itu saya tahu bila nak berhenti. Sebelum orang halau lebih baik perlahan-lahan tarik diri.

“Dalam dunia lakonan juga sama. Sentiasa bersedia sebab kita semakin tua. Terima apa yang akan berlaku dan dorongkan diri saya ke arah yang lebih baik,” katanya memetik laporan mStar.

Malah, Hamidah meluahkan rasa kecewa apabila ada pendatang baru dalam industri seni masih tidak mengenali dan menghormatinya sebagai pelakon lama.

“Mungkin dia tidak kenal kerana saya mula aktif berlakon ketika dia belu lahir. Apabila saya datang set dia hanya tengok sahaja sehinggalah diperkenalkan.

“Jika tidak diperkenalkan hanya sekadar tegur ‘hai’ sahaja. Saya biarkan, bagi saya suatu hari nanti mereka betul-betul belajar apa makna seorang pelakon,” tambahnya lagi.

Bukan itu sahaja, Hamidah yang popular menerusi drama Tanah Kubur itu menganggap bayaran yang diberikan kepada pelakon lama oleh pihak produksi adalah tidak relevan.

“Bayaran kepada artis veteran tidak berbaloi berbanding pengalaman yang mereka ada. Sedih apabila orang baharu menerima bayaran lebih tinggi,” luahnya.

Sumber: MStar