HANGAT diperkatakan baru-baru ini bahawa pelawak dan usahawan terkenal, Shuib mengakui sedang mengenali seorang wanita setelah pemergian isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah akibat jangkitan COVID-19 pada tahun lalu.

Namun, Shuib tampil menjawab teka-teki ramai yang mendakwa dirinya mempunyai hubungan dengan usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida dan masih merahsiakan identiti wanita tersebut.

“Vida bukanlah individu yang sedang saya berkawan sekarang. Walaupun ramai yang cuba meneka dengan menamakan beberapa individu lain tapi identitinya biarlah rahsia sebab kami masih dalam peringkat perkenalan.

“Sebenarnya saya dengan Vida sudah lama berkawan sejak arwah Siti Sarah masih ada lagi. Kami sama-sama berkolaborasi menjalankan perniagaan Unagi.

“Jadi tak mungkinlah saya akan bercinta dengannya. Lagipun kami berdua tak sepadan sebab dia memiliki pengaruh yang terlalu besar dan memiliki segala-galanya.

“Sementara saya mencari seseorang yang sederhana dan mampu menjaga anak-anak saya yang masih kecil sebaik mungkin,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Tambah bapa kepada empat orang cahaya mata ini, wanita yang bakal hadir dalam hidupnya kelak perlulah mendapat persetujuan daripada ibu serta anak-anaknya.

“Kalau boleh soal jodoh ini saya tak mahu bercerita sangat sebab terlalu sensitif. Lagipun jodoh ini rahsia Allah. Saya boleh merancang dengan siapa yang saya nak berkawan tapi tak tahu adakah dia jodoh terbaik saya.

“Cuma andai satu hari saya terbuka hati untuk berkahwin, wanita ini perlu mendapat persetujuan daripada ibu dan anak-anak saya terlebih dahulu,” ujarnya.

Terdahulu, URTV melaporkan bahawa Vida mengakui dirinya tiada masalah jika ditakdirkan bercinta dengan Shuib oleh kerana pelawak tersebut dikatakan mempunyai ciri lelaki idamannya selama ini.

Sumber: Harian Metro