Penganut-penganut agama hindu menyambut perayaan Thaipusam di Batu Caves, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

HARI ini, penganut Hindu menyambut perayaan Thaipusam. Sambutan ini bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan yang juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Kerana itu perayaan ini berpusat di kuil-kuil Dewa Murugan. Salah satu lokasi popular adalah di Batu Caves, Selangor.

Apa sebenarnya kisah di sebalik sambutan Thaipusam ini?

Perayaan ini disambut pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil. Pada sambutan ini, bulan penuh Thai akan berada pada kedudukan melintasi bintang terang bernama ‘Pusam’. Dari sinilah terhasilnya nama ‘Thaipusam’.

Antara kepercayaan masyarakat agama hindu ketika menyambut perayaan Thaipusam di Batu Caves, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Asal usul sambutan perayaan ini dikaitkan dengan kisah purba. Diceritakan bahawa golongan ‘asura’ (makhluk jahat) bernama Surapadman telah berperang dengan para dewa.

Para dewa yang sukar mengalahkan Surapadma telah meminta bantuan dari Dewa Shiva. Maka, Dewa Shiva dengan kuasa saktinya telah menciptakan seorang pahlawan unggul sebagai Dewa Peperangan bernama Murugan (juga dikenali dengan nama Subramaniam, Velan, Kanthan dan Saravanan).

Kemudian, Parvathi yang merupakan isteri Dewa Shiva telah mengurniakan senjata suci berupa lembing yang dipanggil ‘vel’ kepada Murugan untuk menghapuskan Surapadma.

Perayaan Thaipusam berkait dengan kisah Dewa Murugan yang mengalahkah kejahatan dengan lembing sakti dipanggil ‘vel’ – Gambar Hiasan.

Ketika hampir mati di tangan Murugan, Surapadma sempat memohon keampunan. Pengampunannya diterima lalu Surapadma bertukar menjadi ‘vahana’ (tunggangan para dewa) dalam bentuk seekor merak.

Daripada kisah purba itulah di mana tarikh penyerahan kuasa dalam bentuk vel telah disambut sebagai perayaan Thaipusam. Sebab itu juga kita sering mendengan laungan “Vel! Vel!” semasa perayaan ini.

Laungan ‘Vel! Vel!’ itu bagi memperingati kejayaan para Dewa Murugan menghapuskan kejahatan menggunakan senjata sakti itu. ‘Vel! Vel!’ juga bermaksud lembing kemenangan.

Membotakkan kepala antara kepercayaan masyarakat agama hindu ketika menyambut perayaan Thaipusam di Batu Caves, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Hari Thaipusam merupakan hari untuk menunaikan nazar, menghapuskan dosa dan memohon ampun. Ramai akan berpuasa untuk membersihkan jiwa. Bagi yang bernazar dan hajat mereka dimakbulkan, maka perlu melakukan upacara tertentu sebagai tanda kesyukuran.

Pada hari perayaan ini, mereka akan membawa susu di dalam belanga yang dihias dengan daun, benang pelbagai corak dan warna. Belanga ini akan dijunjung di atas kepala dari luar kuil sehinggalah ke dalam kuil.

Ramai lelaki akan mencukur rambut dan menyapu serbuk cendana atau mewarnakan kepala yang botak dengan warna kuning daripada kunyit. Amalan ini salah satu cara untuk membayar nazar atau melupakan sesuatu peristiwa menyedihkan.

Membawa susu dalam belanga antara upacara dalam perayaan Thaipusam. GAMBAR: Abd Razak Aid

Bagi yang memohon ampun terhadap dosa mereka pula akan menjunjung kavadi dalam pelbagai bentuk dan saiz. Kavadi ini diperbuat daripada rod besi atau kayu.

Hiasan utamanya ialah bunga-bungaan, bulu burung merak dan di atasnya terletak patung dewa Murugan. Saiznya pula bergantung kepada kemampuan orang yang menjunjungnya. Amalan mencucuk besi pada anggota badan pula adalah cara mereka memohon ampun.

Setiap kali sambutan Thaipusam, akan ada perarakan dari kuil Mariamman ke kuil Murugan. Ia adalah simbolik kepada peristiwa Parvathi menyerahkan ‘vel’ kepada Murugan untuk menghapuskan Surapadman.

Perayaan Thaipusam lebih meriah sambutannya di Malaysia berbanding di India. Ini kerana di India, mereka merayakan Pesta Ponggal lebih meriah berbanding Thaipusam.

Penganut-penganut agama hindu mendaki tangga di Kuil Sri Subramaniam ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen