Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki GAMBAR: Abd Razak Aid

SURUHANJAYA Sekuriti (SC) tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa terdapat pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) melibatkan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

SC dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu dirumuskan berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang telah dikumpul.

Menurut SC, bidang kuasa kawal selia suruhanjaya itu sebagai pengawal selia pasaran modal ditetapkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan SICDA.

“Dalam hal ini, siasatan tersebut berkaitan dengan isu sama ada potensi pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA telah berlaku.

“Seksyen 25(4) memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama yang berfaedah pemilik atau penama yang diberi kuasa.

“SC telah membuat kesimpulan siasatannya dan berdasarkan bukti yang dikumpul, SC tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa pelanggaran telah berlaku,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Baca artikel berkaitan: Suruhanjaya Sekuriti akan dapatkan penjelasan Azam Baki

6 Januari lalu, SC dalam kenyataan memaklumkan akan menghubungi semua pihak terlibat termasuk Azam untuk mendapatkan penjelasan.

Pada masa sama, SC turut akan meminta pengesahan mengenai kenyataan yang dibuat selain mengumpul sebarang bukti berkaitan.

Azam dalam sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, 5 Januari lalu menegaskan tohmahan ke atasnya sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka untuk menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

Menjawab berhubung isu saham, Azam berkata, beliau sudah menjelaskan perkara berkenaan kepada panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun saham miliknya digunakan oleh adiknya untuk membuat urus niaga.

“Saya tiada kepentingan atau ‘benefisial’ ke atas saham-saham yang dibeli itu. Saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.

“Akhirnya semua saham-saham itu dipindahkan kepada akaun saham beliau kemudiannya,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare