MEMILIH untuk bergelar isteri pada usia muda, pada mulanya ada yang memandang sinis akan keputusan yang dilakukan oleh pelakon Eyra Hazali.

Namun selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, Eyra, 23, atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali berjaya membuktikan status sebagai isteri dan ibu tidak pernah menjadi sebab untuk dia disisihkan sebagai antara pelakon wanita pilihan.

Eyra yang juga isteri kepada penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Haziq Nadzli itu terpaksa berehat seketika dalam bidang lakonan berikutan keadaannya yang sedang sarat hamil anak kedua.

Selain itu, dia terpaksa meletakkan syarat untuk setiap tawaran. Bukan mahu menolak rezeki, tetapi ini adalah pengorbanan yang perlu dilakukan dirinya.

“Tawaran memang ada malah saya juga baru sahaja habis penggambaran di Terengganu untuk drama RTM. Sebenarnya tawaran ini saya terima sejak tahun lepas lagi, jadi memang perlu habiskan juga.

“Dalam keadaan mengandungkan anak kedua ini memang saya akui agak lemah sedikit pada fasa awal. Mujur dapat habiskan juga penggambaran, bukan mudah memandangkan terpaksa menguruskan semua sendiri tanpa suami ketika itu. Sebab itu saya bersyukur keluarga sangat memahami keadaan sekarang,” katanya kepada URTV.

Bercakap mengenai perancangan masa hadapan, kata Eyra selain mahu memberikan fokus terhadap perniagaan, dia juga turut akan mengambil cuti yang lebih panjang selepas melahirkan anaknya nanti.

Tambahnya, selain mahu memastikan dia benar-benar bersedia untuk kembali ke bidang lakonan, Eyra mahu menggunakan masa yang ada untuk menimba ilmu perniagaan.

“Buat masa sekarang memang saya tidak terima apa-apa tawaran, perut sudah besar jadi selesa untuk berada di rumah selain menggunakan ruang ini untuk menyusun semula strategi perniagaan.

“Sebagai anak seni yang sudah sebati dengan bidang seni, saya tidak akan tinggalkan bidang lakonan. Cuma memang selepas melahirkan anak nanti saya mahu berehat dahulu selama setahun. Saya yakin dengan sokongan keluarga saya akan kembali ke dunia lakonan dalam keadaan yang cukup bersedia,” ujarnya.

Bercakap tentang perniagaan pula, Eyra kini mengusahakan produk minyak wangi sejak dua tahun lalu. Katanya, dia bersyukur pihak Nori Malaysia Sdn.Bhd., memberi kepercayaan kepadanya.

Eyra Hazali ketika majlis Meet & Greet di Aeon Tebrau, Johor Bahru yang diadakan baru-baru ini

“Bila pihak Nori Malaysia memilih saya untuk menjalinkan kerjasama, ketika itu apa yang muncul dalam fikiran saya ini adalah langkah awal untuk bergelar seorang usahawan.

“Dengan usia muda ini saya tidak mahu ia dijadikan alasan untuk saya tidak berani mencuba. Tetapi siapa sangka selepas dua tahun, apa yang cukup membanggakan ketiga-tiga produk wangian di bawah jenama Eyra Hazali mendapat sambutan yang cukup baik.

“Buat masa ini saya sudah kenalkan empat wangian berbeza dengan tiga darinya menggunakan nama tiga kota terkenal. Bermula dengan wangian London, Barcelona, Qasdina dan Paris,” ulasnya.

Berkongsi strategi perniagaan yang dimulakan, Eyra berkata sebagai seorang yang tidak berpengalaman dalam bidang perniagaan, dia sentiasa terbuka untuk belajar.

Dalam pada itu, antara yang perlu diambil kira ialah, bagaimana setiap produk yang digunakan harus mempunyai elemen ‘mesra pengguna’.

“Selain memastikan produk ini berkualiti untuk mendapatkan kepercayaan pengguna. Apa yang dititikberatkan ialah bagaimana wangian di bawah jenama Eyra Hazali Beauty ini juga berbeza dengan produk wangian di luar sana.

“Bila perbincangan dilakukan dengan pihak Nori Malaysia mereka setuju jika tumpuan produk ini turut diberikan perhatian terhadap pembungkusan.

“Tidak sekadar botol yang berkualiti, saya juga muncul dengan idea untuk memastikan bahagian atas minyak wangi ini tiada penutup. Sebab sebagai salah seorang pengguna tegar wangian kita tahu kehilangan penutup botol minyak wangi memang selalu berlaku. Siapa sangka idea itu menyebabkan wangian saya diterima baik sehingga kini,” tuturnya.

Berkongsi mengenai cabaran, Eyra tidak nafikan umur dan pengalaman menjadi sebab untuk dia perlu berusaha lebih keras.

Sebagai usahawan muda yang baru berkecimpung dalam bidang ini, tempoh Perintah Kawalan Pergerak (PKP) lalu juga memerlukan dia muncul dengan idea baharu untuk memasarkan produk ini.

“Bercakap soal pengalaman dalam bidang perniagaan tidak banyak yang boleh dikongsikan, tetapi saya banyak berterima kasih kepada rakan saya yang banyak membantu memahami selok belok dunia perniagaan.

“Walaupun muda tetapi saya yakin ini juga kelebihan buat diri saya memandangkan masih ada banyak masa untuk belajar.

“Malah apa yang cukup saya bangga kini bagaimana wangian dibawa jenama saya kini juga sudah berada di rangkaian pasaraya Aeon di seluruh negara. Antaranya MidValley, Maluri Bukit Tinggi, Shah Alam, Cheras Selatan, Nilai dan banyak lagi. Selain itu juga ke empat-empat wangian saya ini juga boleh didapati di Wetex, Muar yang juga outlet Nori.

“Apa yang cukup membanggakan pada awal tahun ini juga wangian saya akan turut berada di 28 rangkaian Watson.

“Lebih penting sebagai orang muda saya juga senang untuk memastikan produk ini lebih mudah didapati secara atas talian. Selain melalui laman web Nori Malaysia sendiri, wangian saya juga boleh didapati melalui aplikasi membeli-belah,” jelasnya.