PELAKON dan pengacara televisyen, Nabila Huda bakal berdepan tindakan perundangan dalam masa terdekat susulan dakwaan kenyataan berbaur fitnah yang dibuat melalui media sosial Instagram dan Twitter terhadap seorang aktivis tempatan yang membantu mangsa banjir di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Aktivis tempatan tersebut, Fatimah Zaharah Rahim sudah melantik peguam Nurul Hafidzah Hassan, Zeti Zulkifli dan Datuk Wan Azmir Wan Majid dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors untuk meniliti tindakan yang sesuai diambil ke atas pelakon tersebut.

“Berdasarkan dakwaan berita palsu, fitnah dan tuduhan yang dilemparkan ke atas anak guam, kami akan kaji tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap Nabila Huda,” kata peguam Nurul Hafidzah kepada URTV.

Nabila Huda yang juga pengacara Melodi didakwa sengaja menyalahgunakan kemudahan aplikasi tersebut dan menyebabkan ramai berasa benci terhadap aktivis tempatan itu sehingga membawa kecaman setelah kenyataan yang dimuat naik pelakon tersebut dikongsi semula oleh netizen.

Aktivis tersebut memandang serius dakwaan penyebaran berita palsu dan fitnah ke atasnya di laman media sosial kerana ia adalah sikap tidak bertanggungjawab dan telah dibuat tanpa mendapat pengesahan terlebih dahulu sebelum sebarang gambar, video dan kenyataan dimuat naik.

Nurul Hafidzah juga memaklumkan bahawa anak guam bertegas apa yang dinyatakan oleh Nabila Huda adalah tidak benar sekaligus boleh menyebabkan kedudukan mereka yang bekerja dalam industri hiburan diprejudiskan.

Undang-undang fitnah di Malaysia terbahagi kepada tuntutan sivil dan tuntutan jenayah. Akta Fitnah 1957 mengawal selia tuntutan fitnah di bawah undang-undang sivil yang memberi remedi pampasan atau gantirugi melalui Akta Undang-Undang Sivil 1976. Manakala tuntutan jenayah meliputi Seksyen 499 hingga 502 Kanun Keseksaan yang membawa penalti penjara atau denda.