Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

TIDAK perlu untuk mempertikaikan kelayakan pendidikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diterima masuk ke Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) pada 1980 kerana proses itu berasaskan merit.

Tambahan pula, Perdana Menteri telah membuktikan beliau layak mendapat biasiswa apabila berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan sebelum diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara.

Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang UM (Parfum), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, amat sukar untuk diterima masuk ke Fakulti Undang-Undang UM sebagai penuntut memandangkan kelayakan yang ditetapkan oleh Dekan ketika itu amat tinggi.

“Fakulti Undang-Undang UM telah ditubuhkan pada 1972 dan pada ketika itu Allahyarham Professor DiRaja Dr. Ungku Abdul Aziz merupakan Naib Canselor UM. Dekan pertama Fakulti pula ialah Allahyarham Tan Sri Datuk Professor Ahmad Ibrahim.

“Allahyarham adalah seorang tokoh perundangan tersohor bukan hanya di Malaysia, malah di Singapura dan di rantau Asia. Beliau amat disegani atas sifat integriti dan kebijaksanaannya yang mendahului masa ketika itu.

“Selaku Dekan pertama, standard yang beliau tetapkan untuk fakulti mahupun para pelajar yang diterima masuk adalah amat tinggi dan tanpa kompromi terutama pencapaian akademik pelajar-pelajar,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Baca artikel berkaitan: Terima kasih semua, saya amat menghargainya – Ismail Sabri

Shahrizat berkata, Fakulti Undang-Undang UM adalah yang pertama dalam negara dan telah melahirkan ramai tokoh terkemuka seperti Ketua Hakim Negara, Hakim-Hakim, Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ahli Jemaah Menteri, Peguam Negara, Peguam-Peguam dan ahli-ahli korporat yang disegani.

Tambahnya, walaupun Ismail Sabri dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, beliau telah mengatasi cabaran dengan kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Beliaut telah mencipta sejarah apabila menjadi graduan pertama dari Fakulti Undang-Undang UM yang dilantik menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare