PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi tips keibuan buat selebriti terkenal, Neelofa yang kini sarat mengandung dan bakal melahirkan cahaya mata sulungnya pada bila-bila masa sahaja.

Menurut Siti,43, dia percaya Neelofa sudah membuat persiapan yang secukupnya sebelum tiba hari bersalin.

Tambah pelantun Anta Permana ini, dia turut menasihati isteri kepada PU Riz (Haris Ismail) itu untuk tidak mengabaikan petua tradisional orang tua-tua.

“Saya rasa Neelofa sudah membuat persediaan dan faham bagaimana untuk menghadapinya. Kita sebagai umat Islam, persiapan dari segi rohaniah perlu dibuat dari awal.

“Kita berdoa sahaja semoga dipermudahkan. Tipsnya, hanya perbanyakkan bacaan sahaja.

“Selain itu, ada setengah orang perlu selusuh. Ikut adat orang lama dulu iaitu minum dan mandi air selusuh.

“Tetapi saya percaya orang tua-tua dahulu mesti akan bagi (petua) walaupun sekarang zaman sudah moden. Kita ikut sahaja petua orang dahulu,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada sidang media Big Stage 2022 sebentar tadi.

Dalam pada itu, ibu kepada sepasang cahaya mata itu turut menekankan bahawa penjagaan dari segi emosi dan sokongan suami adalah sangat penting sepanjang proses berpantang.

“Saya sempat berkongsi panduan berpantang kepada dia (Neelofa). Alhamdulillah saya rasa dia akan dijaga dengan baik sepanjang fasa berpantang. Emosi ibu yang sedang berpantang perlu dijaga dengan baik. Berpantanglah sebaiknya.

“Insya-Allah anak juga akan dijaga dengan baik. Malah, sokongan suami juga amat penting. Saya tengok Haris banyak memberi sokongan kepada Neelofa,” ujarnya lagi.

Terdahulu, selepas sembilan bulan mengunci mulut, Neelofa akhirnya mendedahkan dirinya kini sedang menanti hari bersalin yang dijangka pada bila-bila masa sahaja lagi.

Menurut bekas pengacara MeleTOP itu, dia akui gementar untuk melalui proses melahirkan dan berharap diberi peluang bersalin normal.

Jelasnya, sepanjang kehamilan itu, dia akui ia merupakan satu fasa yang sangat berbeza selain perlu bersedia dari segi mental.