PROGRAM realiti Big Stage kembali lagi bagi musim keempat dengan menampilkan 11 peserta dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia yang bakal berentap selama lapan minggu.

Seramai sembilan peserta dari Malaysia yang terpilih ialah Aisha Retno, Elica Paujin, Lia Aziz, Yasmin Aziz, Sofiaa Marieylla, Megat Rahim, Ajoi Zainal, Danial Chuer dan Tuah Adzmi.

Manakala peserta Brunei ialah Syafiq Abdilah dan Tegar Septian dari Indonesia.

Sementara itu, juri tetap bagi program realiti ini ialah penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan komposer terkenal, Ajai.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, dua lagi juri iaitu Juri Pedas akan dijemput secara bergilir-gilir pada setiap minggu manakala Presiden Netizen akan diumumkan sewaktu konsert pertama kelak.

“Pihak produksi merancang untuk menggunakan semula khidmat barisan juri jemputan yang pernah duduk di kerusi penjurian bagi tiga musim yang lalu. Pastinya, mereka ini memiliki kelayakan dalam bidang masing-masing terutama nyanyian.

“Bagi Juri Presiden Netizen pula, Insya-Allah mungkin kami akan letakkan terus dari minggu pertama hingga minggu kelapan,” katanya pada sidang media Big Stage 2022 yang diadakan di Nexus, Bangsar South sebentar tadi.

Format asal penjurian terbahagi kepada dua bahagian, iaitu permakahan oleh barisan panel juri dan undian peminat secara atas talian menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta aplikasi SYOK.

Menariknya, buat pertama kali proses pemberian markah oleh juri akan dibuat secara langsung di mana setiap pemarkahan akan tertera di skrin LED untuk tontonan ramai.

Dalam pada itu, Alif Satar dan Sherry Al Hadad diberi tanggungjawab sebagai pengacara bagi program realiti musim keempat ini.

Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.

Bagi pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.

Penonton boleh menyaksikan program berkenaan menerusi Saluran Astro Ria (104) serta aplikasi Astro GO dan On Demand.

Konsert ini akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama lapan minggu pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam mulai 6 Februari depan.

Untuk rekod, Sarah Suhairi diumumkan sebagai juara Big Stage musim pertama pada 2018. Manakala Han Byul pula dinobatkan juara musim kedua pada 2019.

Pada 2020, Azzam Shah bergelar juara Big Stage bagi musim ketiga.