megat rahim

GARA-gara masih dibawah umur, penyanyi Megat Rahim pernah ditolak daripada menyertai program realiti Big Stage bagi musim pertama pada 2018.

Namun kini penantiannya berbayar apabila dia diterima untuk menjadi salah seorang peserta dalam Big Stage musim keempat pada tahun ini.

Menurut Megat Rahim atau Megat Abdul Rahim Abdul Razak,20, Big Stage merupakan pentas pertamanya untuk beraksi sehingga dia terbawa-bawa dalam mimpi suasana berada dalam pertandingan itu.

“Megat dapat mimpi tiga hari berturut-turut masuk Big Stage. Memang saya pasti itu ialah program Big Stage dengan warna pencahayaan yang sama. Ia seperi satu ‘tanda’ untuk saya.

“Saya tak pernah lagi masuk mana-mana pentas besar dan ini adalah pertandingan yang pertama selama berada di industri muzik.

“Sejak musim pertama lagi Megat tunggu dan tengok peserta sebelum ini sehingga terfikir apa rasanya untuk berada di atas pentas Big Stage,” katanya kepada URTV.

Tambah pelantun lagu Sinar itu lagi, dia berjanji akan buat yang terbaik dan berharap peminat terus memberi sokongan meskipun andai dirinya tiada rezeki untuk ke pusingan akhir.

“Insya-Allah, Megat akan buat yang terbaik dan harap semua akan tetap menyokong jika saya tersingkir awal. Megat tak mahu letak harapan yang terlalu tinggi.

“Kalau Megat tersingkir awal, ini bukanlah pengakhirannya. Mungkin selepas ini akan cuba menceburi bidang perniagaan,” kongsinya.

Megat Rahim yang mempunyai wajah mirip penyanyi terkenal Bruno Mars itu turut berkongsi bahawa dia sering mengikuti ayahnya ke ‘gig’ sewaktu kecil sehingga mempengaruhi minatnya dalam muzik Jazz.

“Megat suka muzik Jazz sebab masa kecil suka ikut ayah ke ‘gig’. Saya boleh menyanyikan lagu dalam genre R&B, Balada, Hip hop, Pop Jazz dan Jazz.

“Tapi, genre yang buat saya paling gementar ialah Rock, Dangdut dan Tradisional,” ungkapnya lebih lanjut.

Sementara itu, Megat Rahim sentiasa berlapang dada dan bersikap optimis untuk menerima segala kritikan dan kecaman terhadap dirinya.

“Saya sentiasa bersedia untuk menerima kecaman sebab ianya satu kebiasaan. Kecaman itu buat saya lagi kuat. Pernah juga orang kecam kata ata saya tidak boleh menyanyi dan hanya harapkan rupa sahaja.

“Saya ambil kecaman itu sebagai sebuah pengajaran. Kalau kecaman itu terlalu teruk, Megat selalu fikir mungkin dia tak dapat apa yang saya ada,” luahnya ketika di temui di Sidang Media Big Stage bertempat di Nexus, Bangsar South, semalam.