cara memagar rumah

Sudah tentu kita akan berasa risau dan bimbang apabila mendapati terdapat gangguan dalam premis atau kediaman kita. Nabi Muhammad s.a.w mengajarkan kepada kita beberapa kaedah yang mudah dan berkesan, antaranya:

Pertama: Pastikan rumah kita bersih daripada segala perkara khurafat dan syirik yang menghalang kedatangan malaikat rahmat. Perbuatan menggantung tangkal, azimat, wafaq, gambar atau patung yang dipuja adalah perbuatan syirik. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud:  “Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik.”

Kedua: Kita perlu pastikan kediaman kita bersih daripada patung-patung hiasan dan juga anjing. Malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada kedua-dua perkara ini. Sabda Nabi s.a.w

Suatu ketika malaikat Jibril berjanji kepada Nabi yang mana dia akan datang menemui Nabi, tetapi dia tidak datang-datang. Dan kemudiannya dia (Jibril) memberitahu: “Kami daripada golongan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (berupa makhluk bernyawa) atau anjing.” HR Bukhari

Sebahagian ulama mentafsirkan perkataan anjing dalam hadis di atas merujuk kepada syaitan dan jin yang jahat. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Thalabah al Khisyni r.a.

“Jin terdiri daripada tiga golongan: Golongan yang bersayap terbang di udara, golongan yang berupa ular serta anjing dan golongan yang menetap dan berpindah randah.”

Perlu diketahui, tangkal dan azimat serta pagar pendinding merupakan kediaman dan tumpuan jin. Selain itu, jin juga suka mendiami barang-barang pusaka yang ditinggalkan oleh seseorang yang diketahui mempunyai amalan khurafat seperti senjata atau barang perhiasan lama. Sekiranya kita mahu malaikat datang membawa rahmat ke dalam kediaman kita, maka kita perlu memastikan barang-barang yang menjadi sarang dan tempat tinggal jin itu dimusnahkan.

Artikel berkaitan: kononnya terhindar dari bahaya angkara pagar rumah rupanya mengundang sengsara

Ketiga: Laungkan azan di premis atau kediaman kita. Melaungkan azan ketika pertama kali masuk rumah baru atau mana-mana premis bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa. Menurut satu hadis Rasulullah s.a.w., sesebuah premis atau rumah yang ditinggalkan kosong tanpa penghuni akan dimasuki sejenis jin yang bernama al-’Ammar.

Golongan jin dan Syaitan sentiasa akan mengganggu umat manusia sehinggalah hari kiamat

Apabila dilaungkan azan, syaitan yang berada di sekeliling kita akan melarikan diri. Imam al-Bukhari meriwayatkan satu hadis daripada Abu Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w bersabda:

“Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali.”

Imam Muslim dalam sahihnya: Daripada Abu Sufyan daripada Jabir beliau berkata aku mendengar Nabi s.a.w bersabda,

“Sesungguhnya syaitan ketika ia mendengar seruan azan, ia lari hingga sampai ke Rauha.” Berkata Sulaiman, maka aku bertanya tentang Rauha. Maka ia menjawab, “Ia adalah satu tempat yang terletak kira-kira 36 batu dari Madinah.” Disarankan agar azan dilaungkan sebanyak 7 kali.

Keempat: Bacalah al-Quran di rumah khususnya surah al-Baqarah. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Janganlah kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah.”HR Muslim

Selain surah al-Baqarah, surah lain yang disarankan untuk dibaca ialah surah Yasin, ayat al-Kursi, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Nas.

Kelima: Membanyakkan solat dan ibadah-ibadah sunat di rumah. Imam al-Baihaqi meriwayatkan satu hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sinarilah rumahmu dengan membanyakkan solat dan membaca al-Quran.”

Justeru, berhati-hatilah apabila meminta seseorang membuat pagar pendinding rumah. Ada kalanya kita berharap pada pagar untuk melindungi kita, padahal pagar itulah yang makan tuan. Yang terbaik, berharaplah kepada Allah dengan mengikuti apa yang telah diajar oleh rasul-Nya, pasti kita akan selamat.

Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail. Pensyarah kanan Universiti Malaysia Pahang

__________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare