DESAS-desus mengenai spekulasi Mira Filzah sedang berbadan dua akhirnya terjawab apabila pelakon itu mengesahkan berita tersebut.

Menerusi hantaran di Instagram, bekas pengacara Nona itu memaklumkan kehamilannya bakal memasuki trimester ketiga.

“Syukur alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT pemilik seluruh alam, perkhabaran diterima pada tahun lepas yang kami akan menimang cahaya mata sulung kami.

“Insya-Allah, usia kandungan akan memasuki trimester ketiga tidak lama lagi,” tulisnya.

Seperti pasangan yang sudah berkahwin, Mira dan suaminya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar turut melalui pengalaman sendiri sepanjang tempoh enam bulan kehamilan.

“Seperti semua orang yang mempunyai hasrat dan rancangan untuk membina keluarga, kami juga mempunyai pengalaman peribadi tentang suka duka sepanjang perjalanan kami setakat ini.

“Kita juga mendoakan yang baik-baik buat semua oranng tetapi sesungguhnya ia hanya dengan pengetahuan Allah untuk berikan yang terbaik pada waktu yang tepat.

“Kepada semua yang berharap dan mendoakan kami dari dulu hingga kini, dengan rasa insaf serta rendah diri kami mengucapkan jutaan terima kasih.

“Semoga Allah merahmati dan mengangkat segala usaha dan doa setiap seorang daripada kita. Amin,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat serta rakan selebriti teruja dengan berita gembira tersebut dan memberikan ucapan tahniah.

Sekitar November tahun lalu, khabar angin bertiup kencang apabila netizen mendakwa terlihat baby bump namun dinafikan oleh Mira.

Dia memberikan alasan bahawa perutnya kelihatan buncit selepas makan.

Untuk rekod, Mira,29, mendirikan rumah tangga dengan Wan Emir yang merupakan anak kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas),Datuk Mastura Mohd. Yazid pada 3 September 2020.