SIAPA yang tinggal di Kundang dalam daerah Rawang, Selangor, mesti tahu tentang Tasik Biru Kundang. Pernah tak korang alami perkara misteri ketika melalui kawasan itu waktu malam?

Ini kisah aku. Kejadian ini sudah lama, berlaku tahun 2011. Masa itu aku masih belajar di UKM. Aku ingat lagi, hari itu hari Khamis malam Jumaat. Aku bersengkang mata dengan  dua lagi rakan menyiapkan assignment kami.

Punya khusyuk kami siapkan tugasan, tahu-tahu dah lebih pukul 12.00 malam. Esoknya hari Jumaat, aku memang tiada kelas.

Entah kenapa masa itu hati aku kuat sangat nak balik ke rumah orang tua aku di Kundang, Rawang. Selalunya bila cuti atau hujung minggu, memang aku selalu balik pun, tapi tak adalah terkejar-kejar sangat.

Cuma malam itu, aku nak sangat balik walaupun dah lewat malam. Kawan-kawan aku suruh tidur dulu, balik di pagi hari bila hari dah terang. Tapi, aku degil. Hati kuat nak balik masa itu juga.

Tak fikir panjang, aku siap-siap terus keluar. Aku naik motor. Selalunya dalam sejam sampailah ke rumah orang tua aku. Lagipun dah lewat malam begitu, jalan pun lengang.

Itu kali pertama aku bawa motor lewat malam. Rasa best pulak. Dengan jalan lengang, cuaca elok, bulan pulak mengambang penuh.

Lepas aku meredah highway, akhirnya aku sampai ke kawasan Kundang. Dari highway Guthrie, aku masuk ke simpang Kundang. Tak jauh di depan, terbentang luas Tasik Biru. Tasik Biru ini asalnya dahulu sebuah lombong bijih timah. Kemudian bertukar menjadi pusat riadah. Orang kawasan sini memang biasa bersantai di tasik ini.

Sebaik aku menghampiri sebuah pondok menunggu bas, dalam jarak 50 meter, aku nampak ada seorang perempuan sedang duduk di situ. Aku pelik, dah lebih pukul 1.00 pagi, perempuan mana pulak yang berani duduk seorang diri di situ?

Masa nak menghampiri pondok bas, hati aku dah berbelah bagi. Nak berhenti ke tidak? Entah kenapa, hati aku kuat suruh berhenti. Kesian pulak tengok perempuan muda tu seorang diri di situ.

“Dah lewat ni, buat apa kat sini sorang-sorang?” aku bertanya sebaik berhentikan motor depan pondok bas itu.

“Saya nak balik rumah. Dari tadi tunggu kawan kata nak datang, tapi tak sampai-sampai lagi,” jawab perempuan itu. Dia pakai baju kurung putih, berselendang. Usianya aku rasa dalam 20-an. Wajahnya cantik.

Aku tanya lagi, rumah dia kat mana?

“Tak jauh pun. Dekat dengan tasik tu je,” jawabnya.

“Kalau nak saya tumpangkan, jom. Saya memang nak lalu area situ pun,” aku balas. Kesian pulak tengok dia sorang-sorang kat situ. Lagipun aku memang nak lalu area tasik tu untuk sampai ke rumah orang tua aku. Rumah aku pun tak jauh dah, dalam dua kilometer ke depan je lagi.

Perempuan itu setuju. Dia naik membonceng motor aku. Aku tak cakap banyak, cuma berpesan supaya dia beritahu nanti mahu turun di mana.

Aku pulas minyak, motosikal jalan. Bila menghampiri Tasik Biru, aku perlahankan motor sebab saja, nak tengok tasik tu di bawah sinaran bulan. Cantik. Terleka kejap aku tengok keindahan tasik tu.

Eh, tiba-tiba aku rasa lain macam. Apasal motor aku ringan?

Aku raba-raba bahagian belakang. Kosong. Aik, kan perempuan tadi bonceng motor aku, kenapa kosong?

Aku terus brek, berhentikan motor. Aku toleh pusing belakang. Memang kosong. Perempuan tadi tak ada dah. Masa tu juga bulu roma aku mencanak naik. Terus aku rasa seram sejuk.

Aku tengok juga kawasan sekeliling, cari kelibat perempuan tu, tak nampak pun. Tapi, bila aku toleh je pandang ke arah tasik, aku nampak perempuan tadi di tengah tasik tu, terapung-apung.

Aku macam tak percaya dengan apa yang mata aku tengok. Elok je perempuan tu terawang-awang di atas air. Lepas tu, dia siap senyum pandang kat aku.

Aku dah ketakutan kat situ. Kaki macam kena paku atas jalan. Tak mampu nak bergerak. Sambil itu juga, perempuan yang terawang-awang tu perlahan-lahan mendekat ke arah aku.

Masa dia terbang nak datang dekat tu, dia bertukar rupa pulak. Elok-elok wajah cantik, terus bertukar hodoh. Baju putih mengerbang, rambut panjang mengurai.

Paling aku tak tahan tu ‘dia’ boleh mengilai. Aduh, terus lembik lutut aku. Makin dia mendekat, makin aku tunduk. Tangan aku genggam kejap pada handle motor. Aku memang panik, takut gila. Dalam keadaan macam tu, aku tak ingat dah nak baca ayat apa pun.

Sambil pejam mata, telinga aku dok dengar benda tu mengilai. Bibir aku cuma mampu lafaz ‘Allahhuakbar’ je berulang kali.

Tak lama lepas tu aku dapat rasa kaki aku ringan. Apa lagi, tak tunggu lama aku terus pulas minyak. Aku tak pandang belakang langsung dah.

Sampai kat rumah, macam lipas kudung aku cepat-cepat letak motor, ketuk pintu macam nak roboh. Orang tua aku sampai terkejut tengok aku muncul termengah-mengah ketakutan macam kena kejar hantu.

Bila aku cerita kejadian tu pada tua aku, ayah aku cuma jawab, “Hah, gatal lagi balik malam-malam buta naik motor sorang-sorang!”

Kata ayah aku, memang selalu orang kena kacau kat kawasan situ lewat malam. Memang kawasan permainan ‘dia’. Entahlah.

Yang pasti, lepas kejadian tu, esoknya aku demam. Nasib baik tak meracau. Lepas kejadian tu, aku dah serik nak balik lewat malam lalu kat situ lagi.

Ini kisah dulu, sekarang kawasan sana pun dah pesat membangun. Tak lagi sunyi seperti dahulu. Aku tak tahulah ‘benda’ tu masih ada lagi ke tidak di sekitar tasik biru itu. Aku pun dah lama tak pergi ke situ sejak berpindah ke tempat lain.

**Catatan pengalaman : Mohd Norazman, Selangor

Tasik Biru Kundang – Gambar Hiasan

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen