SEMESTINYA ramai mengenali usahawan muda, Sofiaa Marieylla atau lebih popular dengan gelaran ‘Mommy Jerung Merah’ yang telah menyerlahkan bakatnya dalam bidang nyanyian.

Malah, pada November tahun lalu, dia muncul dengan single sulung berjudul Akulah Jerung Merah.

Berikutan populariti yang diraih itu, ia sekaligus melayakkan Sofiaa menyertai program realiti Big Stage 2022.

Menurut pemilik nama sebenar Wan Siti Mariam Wan Mahyudin itu, pentas Big Stage merupakan salah satu impiannya dan meluahkan rasa gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada program realiti ini.

“Sebenarnya saya sendiri tak sangka dapat masuk Big Stage. Ini adalah impian saya daripada dahulu lagi.

“Bila dapat masuk, saya rasa gembira, teruja dan dalam masa sama gementar kerana pertama kali dapat berada di atas pentas besar sebegini,” katanya kepada URTV.

Meskipun belum setahun dalam dunia nyanyian, Sofiaa sudah bersedia untuk berentap bersama peserta lain dan terbuka untuk menerima kecaman orang ramai.

“Sebelum saya menceburi bidang nyanyian, memang ada terfikir apa yang orang akan cakap dan komen kepada saya.

“Tapi, selagi niat saya untuk nak kembangkan bakat dan buat lebih baik, Insya-Allah saya boleh hadapi segala kecaman orang,” ujarnya.

Sementara itu, Sofiaa,22, sempat berkongsi perkembangan terkini perniagaan kosmetiknya yang berjaya melebarkan sayap sehingga ke serata Malaysia.

“Saya cipta Jerung Merah bukan hanya untuk viral semata-mata. Tapi kami buat perniagaan dan mahu berjaya bersama-sama.

“Insya-Allah Jerung Merah tidak akan terhenti walaupun saya dah masuk Big Stage. Alhamdulillah, setakat ini pasukan kami dah makin berkembang dan hampir 1000 orang yang telah menyertai Jerung Merah.

“Sambutan daripada keluarga dan pasukan Jerung Merah semuanya menyokong serta bagi semangat untuk saya masuk ke program ini,” ungkapnya ketika ditemui di Sidang Media Big Stage bertempat di Nexus, Bangsar South, semalam.

Buat Info, Sofia mula dikenali selepas tular di laman TikTok dengan tagline “Beri laluan, beri laluan, Mommy Jerung Merah nak lalu ni boh”.