Salah seorang jemaah mengambil bacaan suhu badan sebelum menunaikan solat jumaat dengan mengikut SOP yang ketat di Masjid Jamek AlKhadijiah, Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur. - GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) bersetuju untuk mengeluarkan penggunaan wajib pengimbas suhu daripada prosedur operasi standard (SOP) kawalan COVID-19 di seluruh negara tidak lama lagi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata hanya imbasan kod MySejahtera diperlukan setiap kali memasuki mana-mana premis.

“Kita akan bawa usaha penambahbaikan SOP ini ke mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara), selepas dipinda pada sesi (mesyuarat) kuartet (menteri COVID-19) akan datang, ia (pengimbas suhu) tidak lagi diwajibkan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan tempoh kuarantin bagi pengembara yang telah menerima dos penggalak adalah selama lima hari berbanding tujuh hari sebelum ini, berkuat kuasa 24 Jan.

Beliau berkata pengembara perlu menjalani ujian RT-PCR dijalankan dua hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif COVID-19.

“Ujian pengesanan COVID-19 RT-PCR dibuat pada hari ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa. Pelepasan kuarantin pada hari kelima jika ujian pengesanan COVID19 RT-PCR pada hari keempat atau RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari kelima adalah negatif,” katanya. 

Khairy berkata bagi pengembara yang belum menerima dos penggalak tetapi telah lengkap divaksin, tempoh kuarantin adalah selama tujuh hari manakala bagi pengembara yang tiada atau belum lengkap vaksin, tempoh kuarantin adalah 10 hari.

Beliau berkata pengembara akan diberikan digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan tidak lagi dipasang gelang pengawasan biasa.

Namun bagi pengembara dari negara berisiko tinggi yang menjalani kuarantin di rumah, beliau berkata mereka masih dipakaikan gelang pengawasan digital manakala tempoh kuarantin bagi kanak-kanak adalah sama mengikut tempoh ibu bapa atau penjaga yang ada bersama.

BERITA BERKAITAN Pelaksanaan SOP, sambutan sederhana tidak jejas semangat penganut Hindu

Mengulas perkembangan kes klinik mengeluarkan sijil vaksinasi palsu, Khairy berkata kesemua kes yang dikesan membabitkan premis vaksinasi berbayar atau swasta, bukan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Mereka ini didapati membeli vaksin tetapi tidak suntik, sebaliknya mereka buang vaksin tersebut. Polis masih menjalankan siasatan dan KKM akan memberi kerjasama sepenuhnya.

“Kita akan perketatkan SOP supaya kes ini tidak berlaku lagi di luar program kerajaan,” katanya.

Ditanya mengenai dos penggalak, Khairy berkata buat masa ini KKM masih mengekalkan penerima vaksin berusia 60 tahun ke atas dan penerima vaksin Sinavoc berusia 18 tahun ke atas perlu mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya Februari ini bagi mengekalkan status lengkap vaksinasi mereka.

Sementara bagi golongan selain di atas, KKM belum bercadang untuk menjadikan dos penggalak sebagai syarat wajib lengkap vaksinasi, katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram