hadi awang
Tan Sri Abdul Hadi Awang.

HAMPIR kesemua ahli akar umbi Pas berpuas hati dengan keputusan kepemimpinan tertinggi parti itu untuk menggugurkan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.

Sehubungan itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan tiada keperluan untuk menjelaskan mengenai pengguguran tersebut kepada umum.

Menurut beliau, Mohd. Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus digugurkan kerana masalah disiplin.

Abdul Hadi memaklumkan, isu tersebut adalah perkara dalaman parti dan tindakan diambil itu hasil persetujuan jawatankuasa disiplin.

Bagaimanapun, Abdul Hadi enggan mengulas secara terperinci berhubung masalah disiplin bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu.

“(Apa yang berlaku), itu disiplin perkara dalaman parti untuk ahli-ahli parti sahaja dan sehingga ini, saya mendapat maklumat daripada akar umbi Pas (bahawa) 99.9 peratus berpuas hati (setuju dengan pengguguran itu),” katanya seperti dilapor BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Beri penjelasan pengguguran Mohd. Khairuddin – Nik Abduh

Ketika ditanya sama ada pengguguran itu berkaitan dengan Muafakat Nasional (MN), Abdul Hadi menegaskan ia hanya berkaitan dengan masalah disiplin Mohd. Khairuddin.

“Dia belum dipecat (tetapi) digugurkan sahaja, sebelum pada itu sudah ada nasihat, sudah ada tindakan awal kemudian gugur daripada AJK Pusat.

“Mengenai pengganti pula, itu akan dilihat bila-bila ada keperluan (dan) setakat ini, parti berjalan macam biasa,” jelas beliau.

Selasa lalu, pimpinan tertinggi Pas didesak supaya memberi penjelasan segera kepada umum berhubung pengguguran Mohd. Khairuddin.

Desakan itu hadir daripada Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menyifatkan Mohd. Khairuddin sebagai antara figura utama pemimpin Pas.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu sah digugurkan daripada jawatan sebagai AJK Pas Pusat tidak sampai dua bulan dilantik.

Pada 23 November lalu, Mohd. Khairuddin merupakan antara tiga pemimpin tertinggi Pas yang dilantik semula sebagai AJK Pas bagi sesi 2021-2023 selepas tewas dalam pemilihan parti di samping Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Mohd. Khairuddin diketahui umum sebagai antara segelintir pimpinan Pas yang lebih cenderung kepada permuafakatan dengan UMNO menerusi MN.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram