PADA tahun 1577, seorang ahli falsafah Inggeris, Mercurialis telah mengeluarkan teori tentang kemungkinan lalat merupakan serangga pembawa penyakit kepada manusia. Namun, pendapat itu tidak diterima pakai kerana teori yang diusulkan tidak disusuli dengan bukti yang kukuh.

Tiga ratus tahun selepas itu iaitu pada 1871, seorang ahli entomologi Amerika Syarikat, Profesor J. Leidy telah melakukan penyelidikan terhadap lalat. Dalam kajiannya, beliau mendapati serangga tersebut sememangnya merupakan agen pembawa bakteria yang akan memberi kesan kepada manusia.

Profesor J. Leidy.

Pada awal abad ke-20, fakta ini dikukuhkan lagi dengan penemuan yang dilakukan oleh beberapa orang pengkaji dari China yang mendapati terdapat tidak kurang daripada 3 juta bakteria yang ada pada bahagian luaran tubuh lalat.

Pada bahagian dalamnya pula terdapat kira-kira enam hingga lapan kali ganda bakteria daripada jumlah luarannya. Perkara ini telah dinyatakan di dalam sebuah jurnal bertajuk Insect Immunology karangan Edward A. Steinhaus.

Pada tahun 1912, risalah pendidikan kesihatan Amerika telah menggelar lalat sebagai serangga paling berbahaya yang pernah dikenali manusia. Lalat dikenal pasti sebagai agen pembawa penyakit demam kepialu, taun, cirit-birit, sakit mata dan banyak lagi penyakit yang memudaratkan.

Namun, menjelang pertengahan kurun ke-20, pendapat itu mula berubah. Sekalipun lalat dikenali sebagai serangga pembawa kuman dan penyakit, tetapi dalam masa yang sama ia juga memiliki bahan anti penawar yang bermanfaat kepada manusia.

Kajian yang dilakukan oleh beberapa pengkaji Eropah mendapati, spesies lalat rumah, Musca domestica mengandungi virus bacteriophage yang mampu membunuh kuman-kuman seperti staphylococcus muscae, escherichia coli, salmonella paratyphi dan eberthella typhosa yang menjadi penyebab kepada penyakit cirit birit dan demam kepialu. Inilah penemuan virus bacteriophage yang pertama di dalam serangga dan ia telah merangsang kepada penemuan-penemuan ilmiah yang lain.

Selain itu, para pengkaji turut mendapati lalat mampu mengubah kuman taun vibrio cholera kepada bentuk lain yang tidak berbahaya. Penemuan-penemuan ini telah dibukukan dalam sebuah jurnal bertajuk The Housefly – Its Natural History, Medical Importance, And Control.

Penemuan sains pada abad ke-19 dan ke-20 ini telah menyedarkan manusia tentang apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w berabad yang lalu adalah sesuatu yang benar lagi sahih.

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas minuman salah seorang antara kamu, celuplah dan kemudian buanglah lalat itu kerana pada sebelah sayapnya mengandungi penawar dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai penyakit.” (HR Bukhari, Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah)

Sebelah sayapnya membawa penyakit dan sebelah lagi adalah penawar.

Pusingan hidup lalat bermula dengan telur yang menetas dan mengeluarkan larva, yang kemudiannya berubah kepada pupa dan seterusnya menjadi lalat dewasa.

Lalat berbentuk larva, ketika dicelup ke dalam luka pada tubuh manusia, ia akan mengeluarkan bahan ammonia dan kalsium karbonat yang menjadikan luka itu alkali. Dalam keadaan ini, ia dapat meredakan bengkak serta mencegah kematian sel-sel.

Larva-larva ini juga berperanan menelan bakteria dan membunuhnya. Lendir yang dikeluarkan oleh larva mampu membunuh kuman-kuman bahaya seperti staphylococcus aureus, haemolytic streptococci dan clostridium welchii. Selain itu, larva juga berperanan mengeluarkan bahan yang dikenali sebagai Allantoin, sejenis protein yang membantu pertumbuhan sel tubuh.

Dalam satu kajian lain, seorang saintis Islam dari Universiti Raja Abdul Aziz, Riyadh, Arab Saudi, Dr. Nabih Da’ish mendapati, tahap pengeluaran bahan anti-bakteria lalat sangat bergantung kepada perbuatan mencelup lalat ke dalam cecair.

Di dalam eksperimennya, Dr. Nabih telah menyediakan 10 kultur bakteria yang mana setiap satunya akan  dimasukkan seekor lalat. Dalam 10 set kultur yang pertama, lalat dibiarkan tanpa dicelup.

Beliau kemudiannya menyediakan 10 lagi kultur bakteria dan seekor lalat telah dimasukkan tetapi kali ini ia dicelup sebanyak sekali sahaja. Selepas itu, 10 lagi kultur bakteria disediakan dan pada kali ini lalat dicelup sebanyak dua kali. Ia kemudian disusuli dengan penyediaan 10 lagi kultur bakteria dan lalat dicelup ke dalamnya sebanyak tiga kali.

Dalam pemerhatiannya, Dr. Nabih mendapati kuman terus hidup dan membiak dalam kultur yang pertama. Tetapi, dalam kultur yang kedua bakteria-bakteria ini tidak mampu membiak, malah sebahagiannya terbunuh dan aktiviti antikuman ini meningkat dalam kultur ketiga dan keempat.

Penemuan ini menunjukkan pengeluaran bahan antikuman tertentu oleh lalat ada kaitan dengan perbuatan mencelup lalat ke dalam cecair. Ia adalah selari dengan sabda Nabi tentang lalat dalam konteks penyakit dan penawar, yang relevan dengan isu kesihatan dan perubatan moden pada hari ini.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen