Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGARAH syarikat dan presiden persatuan adalah antara 22 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi di tujuh negeri semalam bagi membantu siasatan penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Menurut sumber SPRM, mereka yang juga terdiri daripada setiausaha persatuan dan pertubuhan itu ditahan dalam operasi di  Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan serta Melaka.

Enam individu yang ditahan semalam itu kini direman selama empat hingga enam hari bermula hari ini selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret di Selangor, Kedah dan Putrajaya manakala bakinya dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sebelum ini, kata sumber itu, SPRM mengenal pasti 337 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah diluluskan geran peruntukan tersebut sejak tahun 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Menurut sumber itu, tumpuan siasatan SPRM dalam fasa awal adalah terhadap 27 syarikat, persatuan dan NGO yang telah menerima peruntukan antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Pada Oktober 2021, SPRM menahan 18 individu membabitkan 10 syarikat, persatuan dan NGO bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan itu. 

Sumber itu berkata dalam operasi Mitra 2.0 pula, ia menumpukan kepada 17 syarikat dan pertubuhan yang tergolong dalam kumpulan penerima dana berjumlah RM1 juta hingga RM9 juta.

Menurut sumber itu, SPRM juga bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dengan menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberi tumpuan terhadap syarikat yang telah menerima peruntukan di bawah RM1 juta.

Baca: Berkali MITRA disebut dalam LKAN, MCW alukan tindakan tegas SPRM

“Fokus siasatan dalaman ini akan meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan Mitra dari tahun 2019 hingga 2021,” katanya.

Pada Oktober tahun lepas, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago meminta Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique menjelaskan di mana dana berjumlah RM9.1 juta daripada Mitra telah dibelanjakan.

Halimah pada 9 Okt lepas dilaporkan berkata Kementerian Perpaduan Negara bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung isu yang tular berkaitan geran kewangan Mitra.

— BERNAMA