PELAKON dan pengacara Diana Amir berkongsi mengenai imej terbaharunya yang kini sudah niqab selepas hampir 10 tahun berhijab.

Khabar gembira itu dikongsi sendiri oleh pemilik nama Nurdiyana Amir Hashim,35, menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di laman Instagramnya.

“Sebenarnya saya segan nak kupas isu niqab ni, kalau ada orang tanya saya hanya minta mereka doakan saya.

“Jadi mohon sahabat-sahabat yang berhati mulia doakanlah saya yang banyak lagi nak belajar ni diberi kefakihan agama, taufiq dan hidayah daripada Allah SWT, Amin Ya Mujib” tulisnya.

Katanya lagi, keputusannya untuk berniqab merupakan satu fasa bagi dirinya mendekatkan diri dengan Allah dan ianya tidak bertentangan dengan agama.

“Ini salah satu fasa untuk saya nak dekatkan diri dengan Allah, jadi saya harap doakan yang terbaik.

“Yang pentingnya saya tidak melanggar syarak dan paling penting hati saya melakukan apa-apa saja bukan hanya berniqab tapi ibadah yang lain ikhlas lillahitaala. Semoga mendapat rahmat Allah,” ujarnya di dalam video yang dimuat naik.

Malah, pengacara program Bismillah Ad-Dhuha ini, turut menitipkan pesanan buat orang ramai untuk sentiasa bersangka baik dengan Tuhan.

“Sebenarnya pagi ini saya dapat dua berita yang mendukacitakan. Sesuatu terjadi di luar kawalan sehinggan memberi kesan mendalam kepada saya. seperti biasa saya akan tanya guru yang mulia dan yang saya sayanagi, Al-Fadhil encik suami.

“Dia kongsikan ‘tiada apa yang berlaku tanpa izin Allah, walaupun perkara itu bagi kita sesuatu yang buruk dan pastinya kita tidak suka. Tapi ia perlu berlaku untuk kita dan orang sekeliling ambil pengajaran” ujarnya.

Tambahnya, dia memohon orang ramai untuk mendoakan keluarganya serta turut berharap agar mereka yang sedang diuji diberikan kesabaran.

“Saya harap anda semua yang berhati mulia doakan saya dan keluarga. Sesungguhnya hidup ini pentas ujian, semoga kita berjaya dan kembali padaNya dengan husnul khatimah.

“Semoga anda yang sedang diuji juga diberi rasa tenang, kesabaran dan jalan keluar daripada musibah, amin,” tulisnya.

Tinjauan URTV di ruangan komen melihat rata-rata rakan artis dan peminat turut tumpang gembira akan imej terbaru Diana serta mendoakan agar pelakon itu terus istiqamah.

“MashaAllahhh Kak Nana sayangnyaaaa Allah kat mu ni. I pun sayang mu lillahitaala,” tulis @farahlee_.

“Aamin Masyallah semoga istiqamah. Saya gembira lihat awak sebegini,” ujar @lufyalaana.

“Semoga anda terus berada dibelakang isteri-isteri dan anak-anak perempuan Nabi saw ketika meniti titian sirat. Aamin yra,” komen @zulyahya70.