Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan perintah larangan berhimpun di tiga lokasi utama ibu kota iaitu Dataran Merdeka, Sogo dan Masjid Jamek selama tujuh hari mulai semalam.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dalam sidang akhbar hari ini.

Ia susulan satu perhimpunan yang didakwa akan diadakan di ibu negara, esok bagi mendesak tangkapan ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Sehubungan itu, Noor Dellhan menasihati orang ramai supaya tidak menyertai sebarang aktiviti melanggar undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuatkuasa ketika ini termasuk berhimpun.

Menurut beliau, seramai 1,010 anggota serta pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Bukit Aman akan ditugaskan memantau pematuhan SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), esok.

Noor Dellhan turut menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang dikesan masih berdegil untuk menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan.

“Kita telah menerima maklumat terdapat hantaran yang tular bahawa beberapa individu dan pihak yang akan menganjurkan perhimpunan di ibu negara.

“Polis tak menerima sebarang pemberitahuan atau notis makluman berkaitan perhimpunan daripada mana-mana individu seperti yang telah digariskan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 di mana penganjur perlu memaklumkan kepada polis.

“Semua lapisan masyarakat harus memahami betapa pentingnya kita bersama-sama mematuhi SOP PPN Fasa 4 ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: Polis siasat himpunan #TangkapAzamBaki

Mengulas lanjut, Noor Dellhan memaklumkan seramai 16 individu termasuk lima ahli politik telah dipanggil bagi merakam keterangan berkaitan perhimpunan tersebut.

Bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, Noor Dellhan memaklumkan, polis akan melencongkan enam jalan utama di ibu negara bermula pukul 7 pagi esok sehingga himpunan tersebut selesai.

Enam jalan tersebut adalah Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.

“Selain daripada lencongan jalan, pihak pengoperasian Transit Aliran Massa (MRT); Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) juga akan membuat penghentian sementara operasi bagi beberapa stesen utama dalam kawasan pentadbiran IPD Dang Wangi untuk tempoh sama.

“Ia membabitkan enam stesen bagi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling; empat stesen LRT Laluan Kelana Jaya; tiga stesen MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang; sembilan stesen monorel dan tiga stesen KTM,” jelas beliau.

Sebelum ini, media melaporkan penganjur perhimpunan bagi mendesak Azam ditahan akan tetap diteruskan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram