Lelaki warganegara Iran berusia 58 tahun dipercayai dalang sindiket pemalsuan dokumen dan pasport antarabangsa ditahan Jabatan Imigresen Malaysia. GAMBAR: Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia

SEORANG lelaki warganegara Iran yang dipercayai merupakan dalang utama sindiket pemalsuan dokumen dan pasport antarabangsa ditahan Jabatan Imigresen Malaysia, kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki Iran berusia 58 tahun itu ditahan dalam satu operasi khas di sebuah premis perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, hasil semakan lanjut mendapati lelaki tersebut telah tinggal di Malaysia selama lebih 30 tahun dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (suami kepada warganegara).

Khairul Dzaimee memaklumkan, suspek ditahan ketika sedang menyerahkan dokumen yang telah dipalsukan kepada pelanggan di luar sebuah pasar raya.

“Siasatan lanjut telah membawa kepada serbuah di sebuah premis kediaman pangsapuri yang terletak di Bandar Baru Ampang yang dijadikan tempat menyimpan dan memalsukan dokumen.

“Dalam serbuan tersebut, pasukan telah menjumpai lapan naskhah pasport antarabangsa pelbagai negara, 29 keping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang belum dicetak dan dipercayai palsu, cop keluar Imigresen dipercayai palsu, pelbagai jenis cop, komputer riba dan mesin pencetak.

“Imigresen turut merampas 24 keping lesen memandu antarabangsa dan wang tunai bernilai RM4,000.

“Kesemua barang yang dirampas dipercayai berkait dengan aktiviti sindiket ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara barangan yang dirampas Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan khas, kelmarin

Baca artikel berkaitan: ‘Rumah Merah’ diserbu Imigresen, tujuh warga asing ditahan

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, sindiket tersebut menyasarkan pelanggan warga asing khususnya warganegara Iran yang ingin mendapatkan pas dan dokumen untuk tinggal di negara ini.

Katanya, bayaran yang dikenakan bagi setiap pas yang dipalsukan adalah antara RM300 hingga RM500 sekeping.

“Bayaran akan dibuat secara dalam talian ke akaun bank pihak ketiga yang bersubahat dengan dalang ini.

“Sindiket dipercayai telah beroperasi hampir dua tahun dan berselindung di sebalik perniagaan menjual kain cadar tilam berdasarkan iklan yang diletakkan di hadapan premis yang diserbu.

“Ini merupakan kes sindiket pertama melibatkan warga Iran sebagai dalang utama sindiket pemalsuan dokumen,” jelas beliau.

Suspek ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram