SEJAK mengikuti perkembangan bola sepak negara hampir 20 tahun lalu, prestasi skuad kebangsaan pada tahun 2018 ke 2019 boleh disimpulkan sebagai terbaik pernah disaksikan.

Dari segi taktikal dan gerakan hantaran pantas dibawa Tan Cheng Hoe, bola sepak Malaysia umpama ‘mati hidup semula’.

Gol Syahmi Safari ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018 di Bangkok jelas menyerlahkan sisi permainan yang mahu diterapkan Cheng Hoe.

Ia disusuli disiplin dan permainan menarik dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil iaitu menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Indonesia.

Semua itu membangkitkan keterujaan peminat Harimau Malaya bahawa skuad ini mampu pergi jauh bahkan ramai menjangkakan Malaysia boleh melangkah ke Piala Asia 2023 di China.

Namun, kehadiran COVID-19 sehingga menyebabkan Harimau Malaya tiada aksi kompetitif selama 18 bulan menghentikan mimpi penyokong tegar skuad kebangsaan.

Aksi longlai ketika menghabiskan baki perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di UAE, Jun tahun lalu di samping kecundang di peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2020 menambah lagi luka Harimau Malaya.

Keputusan tersebut sekali gus mengakhiri episod Tan Cheng Hoe bersama skuad kebangsaan selepas meletakkan jawatan awal bulan ini.

Suara-suara warga maya yang tidak berpuas hati semakin jelas kedengaran mahukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melakukan perubahan, bukan hanya Cheng Hoe sahaja dijadikan ‘kambing hitam’.

Isu ‘tangan ghaib’ berkaitan pemilihan pemain; tidak memenuhi kuota 30 pemain ke Singapura dan persiapan singkat Harimau Malaya kerap bermain di media sosial.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: Kalau tukar Presiden pun, kemelut akan berpanjangan – Hamidin

Hasil dapatan sama juga dikenalpasti Badan siasatan bebas diketuai Datuk Dell Akbar Khan menerusi bedah siasat prestasi skuad kebangsaan sepanjang kejohanan Piala Suzuki AFF 2020 itu.

Antara hasil yang diumumkan Dell Akbar dalam sidang akhbar khas hari ini termasuk ketiadaan pemain tunjang; kekurangan persiapan dan juga kehadiran pemain naturalisasi yang gagal beraksi baik.

Apabila menyentuh mengenai desakan kepemimpinan FAM meletakkan jawatan, Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin meminta untuk memberi masa mengembalikan kegemilangan Harimau Malaya.

Sepanjang tiga tahun pentadbirannya, Hamidin mengatakan dua tahun telah diselubungi dengan impak pandemik COVID-19.

“Kalau tukar presiden pun perkara itu akan jadi berpanjangan, beri saya masa untuk buat tetapi saya tak mengidamkan untuk duduk sampai 10, 20 atau 30 tahun.

“Dari segi operasi bola sepak, saya tahu saya boleh buat, saya tahu bila jadi presiden akan dihukum dengan kegagalan pasukan kebangsaan, itu dah jadi lumrah.

“Saya berjanji akan pastikan Harimau Malaya mengaum balik,” katanya dalam sidang akhbar sama.

Tentunya jawapan itu tidak akan dapat memuaskan hati pemerhati bola sepak negara yang berasakan kita terperangkap dalam takuk sama.

Ketika ini, hanya aksi cemerlang skuad kebangsaan dapat mengembalikan sedikit senyuman lebih-lebih lagi FAM membuat keputusan ‘mengikut trend’ melantik pengendali Korea Selatan, Kim Pan-gon menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya.

Status selaku Ketua Jawatankuasa Penyelia Skuad Kebangsaan Korea Selatan dibawa Pan-gon amat besar walaupun prestasi semasa menjadi jurulatih Hong Kong tidaklah begitu membanggakan.

Bagaimanapun, jika FAM melantik jurulatih berstatus elit seperti Zinedine Zidane sekali pun, jika tidak disusuli struktur dan diberi kebebasan, ‘melingkup’ juga.

Masa yang ada semakin terhad kerana pusingan ketiga kelayakan Piala Asia akan bermula Jun ini.

Pan-gon perlu diberi segala akses yang diperlukan bagi memastikan impian beraksi secara merit selepas kali terakhir pada edisi 1980 di Kuwait, menjelma semula.

Semoga ada sinar buat Harimau Malaya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram