Ketua Penerangan Pas, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin. - Gambar FB Ir. Ts. Khairil Nizam

JAWATANKUASA Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dilihat mampu menyerlahkan komitmen kerajaan dalam memastikan ketelusan dan kewibawaan sentiasa menjadi keutamaan dalam negara.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Penerangan Pas, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin selepas penubuhan RCI Tabung Haji itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Khairil Nizam berkata, Jawatankuasa RCI Tabung Haji yang dianggotai enam tokoh diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif selaku Pengerusi mampu menjalankan siasatan profesional yang telus, bebas dan menyeluruh.

“Jawatankuasa ini mampu merungkai segala dakwaan terhadap pengurusan dan operasi Tabung Haji mulai 2014 hingga 2020.

“Semoga Tabung Haji akan dipacu dengan lebih efisyen dan berintegriri selain menjadi institusi kebanggan umat Islam dalam negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baca artikel berkaitan: Puas hati, tapi Mujahid kata RCI lebih bermotif politik

Dalam nada yang sama, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda UMNO antara yang paling konsisten menuntut penubuhan RCI tersebut.

Katanya, tuntutan tersebut dibuat sejak 2019 bagi memastikan institusi milik umat Islam ini terus terpelihara, terbela dan tidak diperkotak-katikkan atas apa jua tujuan.

“Menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong atas perkenan penubuhan RCI bagi menyiasat isu Pengurusan dan Operasi TH,” katanya dalam kenyataan.

Rabu lalu, kerajaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi penubuhan RCI Tabung Haji.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’