BIARPUN nama MK daripada kumpulan K-Clique sering terpalit dengan kontroversi namun ia sedikit pun tidak menjejaskan karier seninya.

MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan,25, tetap bersyukur kerana masih diberi kepercayaan untuk terus berada dalam indsutri baik sebagai penyanyi rap atau bergelar pelakon.

Sebelum ini timbul isu mengenai dakwaan MK tidak memberikan kerjasama bagi mempromosikan filem lakonannya, Marabahaya Underground pada Disember tahun lalu.

“Bagi saya, kontroversi tersebut tidak mencalarkan atau merosakkan imej saya. Saya percaya rezeki setiap orang sudah ditetapkan.

“Berkenaan isu tidak beri kerjasama mempromosikan filem sendiri, sebenarnya orang yang bertanya pada saya, sudah tahu cerita yang betul.

“Sejujurnya, ia tidak memberi kesan atau reputasi yang buruk terhadap portfolio kerjaya seni saya,” katanya kepada URTV.

Sebelum ini, penerbit filem Marabahaya Underground iaitu Suhaimi Selamat meluahkan rasa terkilan terhadap sikap MK yanng dikatakan enggan memberikan kerjasama bagi mempromosikan filem arahannya.

Tidak membiarkan perkara tersebut berlarutan, MK pantas membuat permohonan maaf menerusi kumpulan Whatsapp produksi filem berkenaan.

Bercakap soal tawaran lakonan yang semakin lebat, MK akui semakin selesa beraksi di hadapan lensa kamera.

“Alhamdulillah, saya akan bersungguh-sungguh gunakan peluang yang diberikan dalam dunia lakonan. Minat dan kesungguhan ini lahir daripada jiwa saya sendiri.

“Nak cakap sejauh mana seriusnya saya dalam lakonan, sejujurnya saya lebih menghargai peluang yang hadir diddepan mata.

“Buat masa ini rezeki saya ada dalam lakonan, maka saya terima sahajalah. Jadi, saya kena buktikan jika saya juga ada bakat selain bergelar penyanyi rap.